X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Ban pecah punca banjir besar sedang ditambak

Shamsul Ridzuan (kiri) ketika meninjau keadaan kerja-kerja pembaikan ban pecah di Kampung Pasir, Ulu Slim pada Rabu.
A
A

TANJUNG MALIM - Kerja-kerja penambakan dan pembaikan ban pecah di Kampung Pasir, Ulu Slim yang menjadi punca banjir besar di daerah Muallim sejak Ahad lalu telahpun dimulakan dan dijangka siap dalam tempoh satu minggu.

Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris berkata, ia dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membabitkan dua kawasan ban penahan banjir Sungai Slim sepanjang 40 meter dengan kos sekitar RM80,000.

"Daripada pemeriksaan kita dapati, memang berlaku kejadian ban pecah yang agak besar dan ini telah menjadi punca limpahan sungai hingga mengakibatkan lebih 700 penduduk kampung ini dan sekitarnya terpaksa dipindahkan akibat banjir.

"Gerak kerja sudah diambil dan sebaik paras air surut Isnin lepas, JPS segera melakukan kerja-kerja pembaikan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku," katanya sempena lawatan media ke tapak ban pecah di Kampung Pasir, Ulu Slim di sini pada Rabu.

Shamsul Ridzuan
Shamsul Ridzuan

Hadir sama, Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Ir Dr Safry Kamal Ahmad dan Jurutera JPS Daerah Kinta/ Batang Padang, Muhamad Fadhirul Yamanhuri.

Shamsul Ridzuan berkata, setakat ini, sebanyak 160 keluarga membabitkan 733 orang di daerah itu dilaporkan terjejas akibat banjir.

Katanya, semua mangsa ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) masing-masing di Kampung Pauh, Sungai Lembing, Kampung Pasir, Slim Village, Kampung Balun, Kampung Kuala Slim dan PPS Pejabat Kemas Mullim.

"Keadaan banjir telahpun pulih, hanya ada satu lagi PPS yang masih dibuka iaitu di Kuala Slim menempatkan dua keluarga, sementara yang lain telahpun pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata, melalui Pejabat Daerah dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), satu sesi pembersihan pasca banjir dilakukan di Taman Slim Permai, Kampung Balun dan Kampung Lintah Piong pada Selasa.

Keadaan awal ban pecah di Kampung Pasir, Ulu Slim yang menyebabkan limpahan sungai dan banjir, Ahad lepas.
Keadaan awal ban pecah di Kampung Pasir, Ulu Slim yang menyebabkan limpahan sungai dan banjir, Ahad lepas.

"Hari ini (Rabu) kerja-kerja pembersihan diteruskan di Kampung Kuala Slim," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Fadhirul berkata, kerja pembaikan yang dilakukan baru mencapai 20 peratus membabitkan pemasangan kayu bakau bagi tujuan pengukuhan sebelum disusuli tambakan tanah merah dan proses pengukuhan ban dengan beberapa struktur lain.

Katanya, untuk pelan jangka panjang, JPS dalam proses untuk memohon peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi kerja baik pulih ban di sepanjang jajaran Sungai Slim.

"Hujan dijangka berterusan sepanjang bulan ini, jadi kita perlu membuat pemantauan sama di ban-ban lain untuk memastikan struktur ban di sepanjang jajaran sungai ini berada pada tahan yang baik," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!