Buang sampah: JPJ Kelantan ambil tindakan pemilik kenderaan

Tindakan seorang wanita yang membuang bungkusan plastik dari kenderaan ke dalam sungai dirakam dan tular di media sosial sejak Selasa.
Tindakan seorang wanita yang membuang bungkusan plastik dari kenderaan ke dalam sungai dirakam dan tular di media sosial sejak Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan yang tular membuang sampah di sebuah jambatan, di sini pada Selasa.

JPJ melalui satu kenyataan pada Rabu mengesahkan mengeluarkan notis temu siasat di bawah seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan tersebut.

"Membuang sampah daripada kenderaan bermotor adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah kaedah 52 kaedah-kaedah lalu lintas jalan 1959.

"Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh dikenakan terhadap pelaku di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

"Jika sabitan kesalahan kedua, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara tidak melebihi dua bulan penjara atau kedua-duanya," kata kenyataan tersebut.

Terdahulu pada Selasa tular di media sosial tindakan seorang wanita dipercayai membuang plastik sampah ke dalam sungai dari kenderaan ketika berada di sebuah jambatan dikatakan di Tanah Merah.

Video berdurasi 20 saat itu mula tular apabila dimuat naik salah seorang pelayar laman Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'tiada sivik'.

JPJ melalui kenyataan yang sama turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menjadikan amalan membuang sampah dari kenderaan sebagai kebiasaan kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar serta boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai kata-kata kecaman dilemparkan kepada pemilik kenderaan dan si pelaku sehinggalah keluarga si pelaku didakwa mengeluarkan kenyataan maaf beberapa jam selepas kejadian.

Memetik perkongsian di media sosial, keluarga tersebut turut menjelaskan yang sebenarnya mereka membuang saka ke dalam sungai itu selepas pulang dari berubat di sebuah daerah.

“Sebenarnya pihak mereka disuruh oleh perawat tradisional supaya membuang barang saka itu ke dalam sungai yang mengalir. Sebab itulah mereka buang bungkusan ke dalam sungai.

“Mereka memohon maaf banyak-banyak... mohon henti menyebarkan, disebabkan tular itu pesakit menangis dan kemurungan,” katanya.