Lebih baik saya tidak bersubahat dengan Ahmad Zahid: Annuar

Annuar (kiri) bersama Ahmad Zahid
Annuar (kiri) bersama Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berpendirian tidak akan bersubahat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mendapati terdapat gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Menurutnya, dengan tidak menyandang jawatan tersebut, beliau lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik.

"Dengan perbezaan prinsip ini, adalah lebih baik saya tidak bersubahat dengan hala tuju Ahmad Zahid," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Wilayah Persekutuan pada Rabu.

Menurutnya, tugas sebagai Setiausaha Agong BN hanya boleh dilaksanakan dengan baik jika adanya perasaan saling menyakini dan mempercayai dengan Pengerusi BN.

"Walaupun sememangnya wujud suasana sedemikian, namun sejak kebelakangan ini suasana tersebut telah berubah," katanya.

Beliau berkata, ia berikutan beberapa perkara, peristiwa dan dasar yang menuntutnya mempertahankan prinsip serta pendirian secara tegas antaranya situasi 'flip-flop' pimpinan khususnya Ahmad Zahid dalam perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) sehingga berlaku kesamaran dalam hala tuju.

"Sememangnya saya menzahirkan keresahan keputusan flip flop sehingga ahli keliru. Saya sudah menyiapkan draf Perlembagaan MN, apabila sampai masanya untuk daftar, kata jangan daftar pula," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Annuar dedah pemimpin UMNO keluar surat sokongan kepada Anwar

Artikel Berkaitan:

Kerjasama UMNO-DAP: Najib nafi dakwaan Annuar

UMNO bekerjasama dengan DAP untuk bentuk kerajaan baharu, kata Annuar

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, pimpinan telah gagal mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti.

"Pertelagahan secara terbuka telah menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap visi yang dibawa oleh parti," katanya.

Menurutnya, seruan pembubaran Parlimen yang berterusan menimbulkan ketidakselesaan terhadap dirinya.

"Mengadakan pilihan raya dalam situasi rakyat menderita akibat penularan pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi adalah sangat berat," katanya.

Annuar berkata, beliau istiqamah berpegang kuat kepada segala keputusan parti serta asas penubuhan menyatupadukan Melayu dan Islam.

"Namun apa yang berlaku telah mewujudkan keresahan di kalangan ahli dan menjejaskan reputasi parti.

"Parti dilihat telah diseret untuk mengikut agenda peribadi," katanya.

Dalam pada itu Annuar menyeru semua ahli UMNO merapatkan saf dan menjunjung tinggi dasar dan falsafah parti.

"Kepada parti sahabat BN, PN (Perikatan Nasional), GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) berusahalah agar tiada perpecahan antara kita.

"Kepada Pas, saya harap kekal berjiwa besar dan tidak berputus asa berikhtiar untuk memperkukuhkan MN.

"Kepada kepimpinan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), fahamilah sensitiviti akar umbi UMNO dan mengambil langkah ke arah memperbaiki perpaduan Melayu," katanya.