Kerjasama UMNO-DAP: Najib nafi dakwaan Annuar

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bahawa UMNO dalam proses menjalin kerjasama dengan DAP untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Najib menyelar bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu kerana membuat tuduhan sedemikian susulan penyingkiran jawatannya dalam parti pada Selasa.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kepimpinan UMNO tetap tegas menolak kerjasama dengan DAP dan ini adalah sentimen yang turut dikongsi oleh akar umbi parti.

Menurutnya, UMNO adalah parti yang meletakkan suara akar umbi pada tempat paling utama.

“Jika tak puas hati sebab kena pecat atau tidak setuju dengan suara akar umbi serta hampir keseluruhan ketua bahagian UMNO yang menolak PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), janganlah buat sidang akhbar khusus untuk tuduh macam-macam untuk mengeruhkan keadaan,” katanya di laman Facebook pada Rabu dipercayai ditujukan kepada Annuar.

Dalam pada itu, Najib turut mempersoalkan kenapa UMNO hendak bekerjasama dengan DAP jika majoriti akar umbi serta ketua bahagian parti berkenaan menolak DAP.

Pada Selasa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ketua-ketua Bahagian UMNO menegaskan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa mereka menolak kerjasama dengan DAP dan bersedia memperkukuhkan kerjasama dengan Pas.

Bagaimanapun pada Rabu, Annuar mendakwa beliau menerima laporan wujud gerakan daripada UMNO untuk bekerjasama dengan DAP termasuk membentuk kerajaan baharu.

Artikel Berkaitan:

“Saya dapat berita secara sahih wujud usaha perundingan melibatkan DAP dalam membentuk penjajaran baru,” kata Annuar dalam sidang akhbar tanpa memberikan bukti yang sahih di Putrajaya pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO bekerjasama dengan DAP untuk bentuk kerajaan baharu, kata Annuar

BN lantik Ahmad Maslan Setiausaha Agung BN, ganti Annuar Musa