Masa untuk perkukuhkan MN, PN

Ahmad Samsuri. Foto: UPDI
Ahmad Samsuri. Foto: UPDI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas akan terus memberikan komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), walaupun situasi politik kini kembali bergolak dengan krisis yang melanda rakan sekutunya, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia adalah jalan terbaik untuk rakyat dan negara buat masa ini.

"Saya tak boleh jawab bagi pihak orang lain. Cuma bagi pihak Pas, saya boleh bagi komitmen bahawa kita akan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional kerana itulah jalan yang terbaik untuk masyarakat di negara kita.

"Penolakan kerjasama antara UMNO dan Bersatu, itu antara kedua-dua parti," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan politik terkini, di samping UMNO yang menolak kerjasama dengan Bersatu.

Situasi politik kembali panas apabila lebih 140 UMNO bahagian di seluruh negara mengemukakan usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada Sabtu lalu dan terkini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa diumumkan dipecat daripada jawatan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) pada Isnin.

Mengulas mengenai perkembangan agihan kerusi tatkala krisis dalaman yang berlaku kini, Ahmad Samsuri menegaskan, rundingan akan terus berlangsung.

"UMNO Terengganu nak bertanding di semua kerusi, itu adalah hasrat mereka. Tapi pada masa yang sama, yang mengeluarkan watikah bagi calon semua parti-parti akan diputuskan di peringkat pusat dan dikeluarkan oleh presiden parti masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, pada saya itu biasalah 'wish list' bagi semua pihak dalam pilihan raya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi PN Terengganu, Ahmad Samsuri berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, PN Terengganu akan merangka aktiviti-aktiviti dan program yang bersesuaian bagi menjayakan kerjasama antara mereka.