X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

PM pengerusikan Mesyuarat MPT Bersatu malam ini

Muhyiddin Yassin
A
A

PETALING JAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ibu pejabat parti di sini malam ini.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut bagi meneruskan perbincangan mengenai isu politik semasa berlaku dalam negara susulan daripada pertemuan pimpinan parti itu yang diadakan pada Isnin lalu.

"Petang kelmarin kita sudah mengadakan satu perbincangan mengenai isu politik semasa dan malam ini kita ada mesyuarat bagi menyambung perbincangan itu dengan lebih mendalam," katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, perincian mengenai mesyuarat MPT Bersatu malam ini akan diumumkan menerusi kenyataan rasmi parti selepas mesyuarat atau selewat lewatnya pada Khamis.

Antara perkara dijangka akan dibincangkan Bersatu ialah mengenai hubungan kerjasama dengan parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum.

Ahad lalu, suhu politik tanah air memuncak apabila UMNO mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu boleh digunakan bagi melaksanakan PRU15 dalam tempoh berkenaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan PRU15 boleh dilaksanakan sekiranya semua pihak berganding bahu memberi kerjasama mematuhi normal baharu dan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 meskipun negara masih bergelut dengan pandemik itu.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan polis untuk sebarang pelaksanaan kawalan selaras dengan arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"SPR yakin sekiranya semua pihak berganding bahu memberikan kerjasama sepenuhnya, PRU15 boleh dilaksanakan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!