X

Kindly register in order to view this article
!

Latifah lawan derita demi kelangsungan hidup

Latifah melihat anaknya mengira kelongsong periuk kera untuk di hantar kepada pelanggan.
A
A

KUANTAN - Pergerakan terbatas akibat kegagalan buah pinggang tidak menghalang ibu kepada dua anak untuk mencari rezeki dengan menjual kelongsong periuk kera dan lemang.

Latifah Abdullah, 45, berkata, dia tidak dapat berjalan sejak enam bulan lalu, kesan daripada penyakit buah pinggang yang dideritainya sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, demi kelangsungan hidup, dia terpaksa meneruskan perniagaan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu bagi membiayai kos rawatan hemodialisis, setiap minggu.

“Dalam seminggu tiga kali saya terpaksa jalani rawatan hemodialisis, tapi kosnya ditanggung sepenuhnya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pusat zakat.

“Namun begitu, bagi kos membeli ubat-ubatan, pemeriksaan darah dan sebagainya saya kena biayai sendiri yang dianggarkan lebih RM1,000 setiap bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Panching Selatan, di sini semalam.

Latifah turut menjual lemang periuk kera kepada warga Kuantan.
Latifah turut menjual lemang periuk kera kepada warga Kuantan.

Latifah kini meneruskan perniagaannya secara dalam talian dan suaminya, Ramli Hanifiah, 56,terpaksa berhenti bekerja bagi menjaganya.

Katanya, pengorbanan dilakukan Ramli menjadikannya lebih kuat untuk mencari pendapatan lebih dengan sokongan keluarganya.

Kini, Latifah mampu berbangga apabila berjaya mengembangkan perniagaannya sehingga memiliki pelanggan tetap.

“Alhamdulilah, rezeki itu ada bila ramai yang buat tempah kelongsong. Boleh dikatakan hampir 2,000 hingga 8,000 kelongsong dijual dalam seminggu.

“Pelanggan tetap itu dah ada di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, jadi untuk itu saya kena pastikan bekalan sentiasa cukup,” katanya.

Menurutnya, dia menggunakan khidmat penduduk kampung dan Orang Asli untuk mencari kelongsong itu di sekitar hutan di Gambang dan Muadzam Shah, Rompin.

"Beberapa kawasan hutan di kedua-dua kawasan ini sesuai dengan habitat tumbuhan periuk kera, menyebabkan saya mampu penuhi permintaan pelanggan yang ada antaranya menempah dalam jumlah yang besar," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!