Banjir: Penduduk Rantau Panjang perlu bersedia

Trend air naik dengan cepat menyebabkan Sungai Golok mulai melimpah. Foto: Ihsan orang awam
Trend air naik dengan cepat menyebabkan Sungai Golok mulai melimpah. Foto: Ihsan orang awam
A
A
A

RANTAU PANJANG - Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan kawasan rendah di Rantau Panjang mula ditenggelami banjir ekoran limpahan air Sungai Golok pada Rabu.

Antara kampung yang mula menerima limpahan air Sungai Golok itu ialah Kubang Rambutan, Jalan Sekolah Cina, Rahmat, Kajang, Lubok Gong, Terusan, Gual To' Deh, Lanchang dan Bongor.

Seorang penduduk, Muhammad Zalani Che Awang, 42, berkata, air dilihat mulai melimpah masuk ke kawasan Rantau Panjang seawal jam 7 pagi.

"Walaupun tidak hujan di Rantau Panjang, namun trend air naik dengan cepat membimbangkan kami walaupun sudah biasa dengan situasi tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, penduduk sudah membuat persiapan untuk menghadapi banjir itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya sudah melakukan rondaan berkala setiap tiga jam sekali untuk memantau paras terkini air Sungai Golok.

"Penduduk dinasihatkan supaya membuat persiapan awal bagi memudahkan operasi pemindahan dilakukan jika keadaan menjadi lebih teruk," katanya.

Katanya, bomba tidak menolak kemungkinan trend air akan terus naik jika hujan masih lebat.

Artikel Berkaitan:

Menurut laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my bacaan paras air Sungai Golok setakat jam 10 pagi sudah melepasi paras bahaya iaitu 9.68 meter.

Sementara itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Rahmat sudah dibuka bagi menempatkan 16 mangsa dari tiga keluarga.