Hubungan Arab Saudi dengan Qatar kembali pulih

Arab Saudi memulihkan kembali hubungannya dengan Qatar. - Foto AFP
Arab Saudi memulihkan kembali hubungannya dengan Qatar. - Foto AFP
A
A
A

AL-ULA - Hubungan antara Qatar dengan empat buah negara yang terputus lebih tiga tahun lalu sudah dipulihkan, kata Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan pada Selasa.

Sebelum ini Arab Saudi mengetuai satu perikatan yang disertai Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir bertindak memutuskan hubungan dengan Qatar pada Jun 2017.

Riyadh mendakwa Doha terlalu rapat dengan Iran dan menyokong kumpulan radikal Islam sehingga membawa terputusnya hubungan itu, namun, dakwaan terbabit dinafikan Qatar.

"Apa yang berlaku hari ini ialah kembalinya semula hubungan diplomatik," kata Putera Faisal pada satu sidang akhbar sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Selasa di Al-Ula. Arab Saudi seperti dilaporkan oleh AFP.

Para pemimpin enam anggota GCC menandatangani Deklarasi Al-Ula pada Selasa bagi memperkukuhkan kerjasama antara negara-negara anggota pada sidang kemuncak tersebut.

Anggota-anggota GCC terdiri daripada Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman dan Qatar.

Media kerajaan Arab Saudi menyatakan Putera Mahkota negara beraja itu, Putera Mohammed Salman (MBS) bertemu dengan pemimpin Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani selepas mereka saling berpelukan di lapangan terbang.

Qatar sebelum ini didakwa memberikan sokongan kepada pergerakan yang bersepakat dengan Ikhwanul Muslimin.

Artikel Berkaitan:

Pada permulaan krisis itu, negara-negara yang memutuskan hubungan tersebut menuntut 13 perkara yang perlu dipenuhi oleh Qatar antaranya penutupan stesen televisyen Al-Jazeera dan sebuah pangkalan tentera Turki di negara berkenaan.

Namun, Doha tidak tunduk dengan permintaan tersebut.

Washington sebelum ini meningkatkan tekanan supaya satu resolusi mengenai Qatar dicapai kerana negara-negara Teluk yang bersatu diperlukan untuk menghadapi musuh Amerika Syarikat (AS) iaitu Iran sebelum penggal pemerintahan Presiden AS, Donald Trump berakhir pada 20 Januari ini. - Agensi