Koperal maut terlibat kemalangan

Motosikal mangsa ditemui di tepi lebuh raya di KM337.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran persimpangan plaza tol Bidor.
Motosikal mangsa ditemui di tepi lebuh raya di KM337.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran persimpangan plaza tol Bidor.
A
A
A

TAPAH - Seorang anggota polis maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan di Kilometer 337.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran persimpangan plaza tol Bidor pada Rabu.

Mangsa, Koperal Muhamad Fadzil Sabudin, 33, yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu daripada orang awam kira-kira jam 3 pagi.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang disahkan meninggal dunia masih berada di lokasi, manakala motosikal Yamaha SJ 600 yang ditungganginya berada di tepi lebuh raya tersebut.

"Berdasarkan siasatan, motosikal yang ditunggang mangsa disyaki telah melanggar bahagian belakang kenderaan berat berdasarkan kepada kerosakan motosikal. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Semasa pihak polis sampai di tempat kejadian, kenderaan berat berkenaan tiada di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu.

Wan Azharuddin berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke Ipoh.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis meminta saksi yang melihat kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ruzainal Anan Ruslan di talian 012-4500968 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan.

"Siasatan dijalankan di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.