Lebih suka jadi gadis tong gas daripada kerja pejabat

Kamarul Ain (kiri) dan Kamarul Afifah seronok dengan kerja menghantar tong gas.
Kamarul Ain (kiri) dan Kamarul Afifah seronok dengan kerja menghantar tong gas.
A
A
A

SEREMBAN - Sebahagian besar wanita memilih bekerja di pejabat dan hanya sebilangan kecil yang memilih kerjaya yang biasanya didominasi golongan lelaki.

Bagi graduan lulusan Diploma Akaun dari Politeknik Port Dickson, Kamarul Ain Kamaruzaman, 24, pula tidak pernah menyesal dengan pilihannya untuk bekerja sebagai penghantar tong gas sejak dua tahun lalu.

Meskipun bertubuh kecil, namun anak keempat daripada tujuh beradik itu tidak kekok untuk memandu lori empat tan dan mengangkat tong gas seberat 30 kilogram setiap hari.

Malah dia seronok kerana berpeluang berjumpa dengan pelbagai jenis pelanggan dan berbangga kerana mampu melakukan tugas yang biasanya dilakukan lelaki.

"Sebenarnya saya dan enam lagi adik-beradik dibesarkan dengan tong gas kerana emak dan ayah mengusahakan perniagaan gas petroleum cecair (LPG).

"Jadi kerja ini sudah biasa dengan saya dan setiap kali cuti semester sebelum ini pun saya akan tolong keluarga. Cuma ia mungkin kelihatan janggal bila seorang wanita yang melakukannya lebih-lebih lagi seusia saya," katanya.

Semuanya bermula selepas ibunya melontarkan cadangan supaya Kamarul Ain mengambil Lesen Memandu Vokasional (GDL) selepas dia tamat belajar dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Ain Kamaruzaman
Kamarul Ain Kamaruzaman

Katanya, pada waktu itu ibunya pula sering menghadapi masalah mendapatkan pemandu lori untuk menghantar tong gas kepada pelanggan.

"Bila dapat saja lesen GDL, saya terus buat keputusan untuk fokus bantu emak dan ayah usahakan perniagaan ini dengan melakukan semua urusan kerja termasuk memandu lori, mengangkat dan menghantar tong gas ke premis pelanggan.

"Memandu lori itu biasa sahaja, yang susah sikit masa mula-mula nak angkat tong gas. Sakit jugalah badan dalam tempoh dua bulan.

"Iyelah, kudrat perempuan dan lelaki ini beza. Tapi sekarang dah ok dan tak sakit lagi. Kena ada cara mengangkatnya dengan betul," katanya.

Bagaimanapun dia mengakui yang selalunya pelanggan akan bersimpati melihatnya mengangkat tong gas lebih-lebih lagi jika dalam kuantiti yang banyak.

Kamarul Ain sudah biasa mengangkat tong gas.
Kamarul Ain sudah biasa mengangkat tong gas.

Kata Kamarul Ain, ada juga yang mempertikaikan pilihannya melakukan pekerjaan itu dan menasihatkannya mencari kerja lain.

"Saya tak kisah orang nak cakap apa. Saya bukannya tidak dapat tawaran kerja lain, tapi saya sebenarnya tidak suka sangat dengan kerja pejabat.

"Macam kerja sekarang, saya boleh pakai baju-T dan jumpa dengan ramai orang. Ia pilihan masing-masing, janji ada kerja. Lagipun saya memang fikir untuk terus fokus perniagaan LPG," katanya.

Selain Kamarul Ain, adiknya Kamarul Afifah juga yang kini sedang menyambung pengajian Diploma Elektronik turut berminat untuk melakukan pekerjaan sama.

"Bila cuti dia akan tolong saya hantar tong gas di sekitar Senawang dan Paroi. Servis kami setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

"Positifnya bila ada wanita yang boleh hantar tong gas, pelanggan wanita terutamanya rasa lebih selesa dan selamat," katanya.

Kamarul Ain bersedia menghantar tong gas kepada pelanggan setiap hari.
Kamarul Ain bersedia menghantar tong gas kepada pelanggan setiap hari.