Nafsu UMNO, dilema Pas, nasib kerajaan PN

Dari kiri: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dari kiri: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
A
A
A

APABILA kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan pada penghujung bulan Februari tahun 2020, maka bergegak gempita seluruh negara yang bergembira dengan langkah penubuhan kerajaan dilabel mewakili komuniti Melayu Islam.

Penubuhan kerajaan membabitkan parti Barisan Nasional (BN), Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain di Sabah dianggap sebagai penyelamat kepada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum itu yang terumbang-ambing dan penuh dengan masalah dalaman.

Memasuki tahun 2021, isu ketidakstabilan kerajaan di bawah pentadbiran PN dengan pelbagai konflik dalaman melibatkan parti-parti membentuk kerajaan dilihat masih berlaku, seolah-olah mengulangi episod pentadbiran kerajaan PH.

Bermula dengan ketidakpuashatian ahli-ahli Parlimen BN yang mendakwa dibuli oleh Bersatu dalam isu pengagihan jawatan strategik kerajaan serta konflik sewaktu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Kemuncaknya, lebih 140 UMNO bahagian di seluruh negara mengemukakan usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada Sabtu lalu dan terkini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa diumumkan dipecat daripada jawatan sebagai Setiausaha Agung BN dan Muafakat Nasional (MN) pada Isnin.

Gerakan politik terbaharu oleh UMNO dan BN itu difahamkan adalah sebahagian usaha parti berkenaan menuntut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan pilihan raya umum (PRU) mengejut dengan segera.

Bagaimanapun, pada saat pandemik Covid-19 masih serius, adakah tuntutan PRU mengejut merupakan motif sebenar UMNO dan BN untuk menggerakkan usaha menarik sokongan daripada kerajaan PN dalam masa terdekat?

Bagi sebilangan pemimpin UMNO, tuntutan UMNO dan BN supaya PRU15 dapat dilaksanakan segera adalah munasabah berdasarkan pengalaman negara jiran, Singapura yang berjaya melaksanakan pilihan raya negara itu dengan sempurna meskipun berdepan ancaman Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ditambah dengan sikap Bersatu terhadap UMNO yang dianggap tidak ikhlas dan cuba mengganggu gugat perpaduan parti itu, pemimpin UMNO mengakui hanya pelaksanaan pilihan raya sahaja yang boleh menyelesaikan ketidakstabilan politik negara.

"Tiada isu UMNO dan BN mempunyai motif lain, serta agenda bekerjasama dengan pihak luar seperti Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

"Cuma, apabila Bersatu cuba hendak berkubang di tempat UMNO, menuntut untuk kekal bertanding di 16 kerusi ahli Parlimen mereka yang lompat parti serta bersikap tidak ikhlas dalam berkongsi kuasa, masakan kami boleh berdiam diri?

"Lagipun kena ingat pendirian awal UMNO dan BN sewaktu terlibat dalam pembentukan kerajaan PN adalah kami hanya memberi sokongan sehingga PRU15. Justeru, melalui keputusan penolakan kerjasama politik dengan Bersatu, kami mahu fokus mendepani PRU15 bersama Pas dalam koalisi Muafakat Nasional (MN)," kata Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub kepada Sinar Harian pada Isnin.

No Image Caption

Ditanya mengenai keputusan pemecatan Annuar oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan digantikan dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Mustapha menjelaskan itu bukan keputusan luar biasa dan sekadar mengembalikan amalan tradisi parti.

"Saya juga yakin keputusan menukar Annuar tidak akan menjejaskan hubungan politik dengan Pas.

"Cuma pada saat ini, amat penting kepada Pas untuk membuat keputusan muktamad sama ada hendak bersama kami atau PN kerana parti itu dilihat mahukan kedua-duanya," katanya.

Sentimen sama turut dikongsi sebuah agensi penyelidikan politik, O2 Research Malaysia yang menyifatkan tindakan pemecatan Annuar dan digantikan dengan Ahmad Maslan dijangka tidak menjejaskan kerjasama dengan Pas secara langsung.

"Sepanjang perkhidmatan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN, beliau sememangnya menjadi jambatan BN dengan kerajaan PN serta Pas, sekali gus membolehkan kerajaan PN berfungsi dan beroleh keseimbangan kuasa antara parti-parti Melayu.

"Namun daripada satu sisi khususnya kepentingan UMNO, Annuar dilihat tidak membantu parti itu diperkasakan dalam kerajaan PN dengan dominasi UMNO dalam politik Melayu dirasakan kian terhakis kerana kelompok itu kini mempunyai parti alternatif selain UMNO," kata Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Sina.

Anis turut berpandangan gerakan politik terbaharu UMNO dan BN menolak kerjasama Bersatu serta menuntut PRU15 mengejut sebagai satu pendirian politik yang sering berubah-ubah.

Sebagai contoh, beliau menyingkap peristiwa pemecatan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz, juga sebagai Setiausaha Agung BN, sekitar tahun 2019 kerana pendirian beliau menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Namun hari ini, Annuar pula dipecat kerana tidak mahu UMNO bersama DAP dan Anwar Ibrahim.

"Langkah terbaharu UMNO pastinya akan menyebabkan hubungan BN-Bersatu semakin tegang, namun Pas sebagai rakan politik bagi kedua-dua parti perlu berusaha keras menjadi pendamai dan tidak menyebelahi hanya satu pihak semata-mata," katanya.

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

Bagi Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad pula, parti Islam itu sentiasa menghormati sebarang keputusan UMNO dan enggan campur tangan dalam sebarang urusan pemecatan Annuar sebagai Setiausaha Agung MN.

"Pas tetap berpendirian semangat MN dan PN perlu dipertahankan dengan prinsip kerjasama dengan rakan politik Melayu Islam termasuk Bersatu dan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin dapat dipertahankan.

"Untuk menghadapi PRU15, kita memerlukan gabungan ini. Saya fikir semua pucuk kepimpinan parti komponen dalam kerajaan PN perlu kembali merenung sejarah pembentukan kerajaan PN ini sebenarnya untuk apa, atas kepentingan siapa," luahnya kepada Sinar Harian.

Ditanya kemungkinan UMNO dan BN bakal melakukan penjajaran politik baharu dengan parti pembangkang sekiranya mereka menarik diri daripada kerajaan PN, Kamaruzaman menegaskan Pas menghormati sebarang keputusan parti berkenaan.

"Mengapa Pas boleh bekerjasama dengan UMNO? Ini kerana kita sama-sama bersetuju untuk mempertahankan isu memartabatkan Islam dan Melayu sebagai terkandung dalam Piagam MN.

"Sekiranya ingin dirombak persefahaman ini, kena kembali teliti adakah penjajaran semula politik dengan pembangkang akan dapat menunaikan perkara-perkara terkandung dalam piagam MN?," katanya.

Langkah politik terkini UMNO dan BN bagaimanapun ditafsirkan penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling sebagai cubaan ke arah menjayakan kerjasama politik dengan Anwar dan DAP, sebagaimana digembar-gembur selama ini.

Menyangkal dakwaan UMNO cuba menarik sokongan terhadap kerajaan PN sebagai usaha menuntut PRU mengejut, Zainal sebaliknya menganggap itu sekadar alasan bagi menyelamatkan karier politik sebilangan ahli Parlimen UMNO yang dikaitkan kes mahkamah sebelum ini.

"Bagi saya, ini satu gerakan politik yang tidak munasabah pada saat negara berdepan tiga masalah besar iaitu ancaman Covid-19, masalah ekonomi dan ketidakstabilan politik pada saat orang Melayu meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan Muhyiddin.

"Jadi, kalau UMNO membuat keputusan menolak kerajaan Muhyiddin, sebaliknya beria-ria mahu bekerjasama dengan Anwar, natijah paling besar adalah UMNO sendiri akan berpecah-belah dan parti itu bakal berdepan penolakan pengundi Melayu secara besar-besaran," katanya.