Harimau Malaya kesuntukan masa

Skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada perlawanan kompetitif sepanjang tahun lalu ekoran penularan Covid-19.
FOTO: FB FAM
Skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada perlawanan kompetitif sepanjang tahun lalu ekoran penularan Covid-19. FOTO: FB FAM
A
A
A

SUSULAN tiada aksi antarabangsa sepanjang musim 2020 mewujudkan kebimbangan kepada skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi getir saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada Mac depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus skuad kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui pasukan negara kini memiliki tempoh terhad untuk melakukan persiapan bagi meneruskan momentum cemerlang dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu.

Turut menjadi kegusaran beliau adalah prestasi pasukan kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, selain aspek kombinasi pemain dalam skuad kebangsaan selepas lebih setahun tidak menjalani kem latihan pusat susulan penularan pandemik Covid-19.

Menyedari UAE dan Vietnam sudah melakukan persediaan lebih awal, Mohd Yusoff berkata, Cheng Hoe serta barisan pemain negara perlu memanfaatkan kem latihan pusat bermula 15 hingga 26 Januari ini yang menjadi sesi latihan berpasukan pertama skuad kebangsaan sejak November 2019.

“Sejujurnya, ada sedikit kerisauan tetapi saya mengharapkan jurulatih dapat merangka sesuatu perancangan yang lebih komprehensif serta menepati dan dapat menyediakan pasukan walaupun dalam masa singkat.

“Barisan pemain juga perlu memainkan peranan, maknanya kali ini pemain juga kena berkorban dan memberi penumpuan lebih daripada 100 peratus kerana masa yang sedikit ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi kita menyediakan sebuah pasukan mantap,” katanya pada Selasa.

Selepas lima perlawanan, Malaysia hanya dipisahkan dua mata di belakang pendahulu Kumpulan G, Vietnam yang mengumpul 11 mata sementara Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata), UAE keempat (enam mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30) dan selepas meraih kemenangan ke atas Thailand serta Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk layak secara merit selepas kali terakhir pada edisi Piala Asia 1980 di Kuwait.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Mohd Yusoff mengharapkan kerjasama pasukan dan kelab tempatan dapat melepaskan pemain masing-masing yang terpilih ke kem latihan pusat skuad kebangsaan meskipun dalam tempoh persediaan pramusim bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 bermula hujung bulan depan.

“Tidak banyak ruang yang ada cuma bulan Januari, kita dapat peluang untuk mempersiapkan pemain dan Cheng Hoe dapat bersama pasukan setelah lebih setahun, jadi saya fikir ini perlu dihayati setiap pasukan.

“Beri beliau (Cheng Hoe) peluang mendapatkan pemain dikehendaki dalam kem latihan kali ini supaya dapat melihat prestasi pemain dalam usahanya menyediakan pasukan terbaik negara bagi menghadapi perlawanan penting bulan Mac nanti,” katanya.

Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac. - Bernama

--