X

Kindly register in order to view this article
!

Jadikah Trump arah AS serang Iran?

Sebuah loji tenaga nuklear milik Iran yang terdapat di Bushehr, selatan negara itu. - Foto AFP
A
A

IRAN melangkah ke tahun baharu dengan memberi tekanan kepada bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk menarik balik sekatan yang dikenakan AS ke atas negara itu berhubung isu nuklear Teheran selepas beliau menjadi Presiden pada 20 Januari ini.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan bahawa satu konflik ketenteraan bakal berlaku ketika Presiden AS ketika ini, Donald Trump yang juga komander tentera AS masih berkuasa sebelum beliau meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari ini.

Ketegangan antara kedua-dua negara telah meningkat selepas Trump pada tahun 2018 bertindak menarik keluar AS daripada satu perjanjian nuklear dengan menganggap ia hanya menyebelahi satu pihak sahaja.

AS kemudian melaksanakan sekatan ekonomi ke atas Iran bagi menekan Teheran menghentikan projek peluru berpandunya dan berunding untuk menandatangani satu lagi perjanjian baharu.

Baru-baru ini, AS telah menerbangkan dua pesawat pengebom B-52 daripada sebuah pangkalan di Louisiana, Amerika ke Asia Barat bagi menunjukkan kepada Iran tentang kekuatan ketenteraannya.

Menurut portal berita CBS News, pesawat pengebom itu melintasi Lautan Atlantik dan Eropah, terbang di ruang udara Semenanjung Arab serta menuju ke Teluk Parsi selain berada dalam jarak selamat dari Iran sebelum kembali pulang.

Akhbar New York Times melaporkan, kapal terbang berkenaan terbang ke Asia Barat

bersama pesawat dari Qatar, Arab Saudi dan Bahrain.

Ketegangan antara Washington dengan Teheran semakin meningkat selepas Iran menambahkan proses pengayaan uranium melebihi had yang ditetapkan dalam perjanjian nuklear pada tahun 2015.

AS menghantar pesawat pengebom B-52 ke rantau Teluk dan terbang tidak terlalu jauh dari Iran bagi menunjukkan kekuatan ketenteraan yang dimilikinya. - AFP
AS menghantar pesawat pengebom B-52 ke rantau Teluk dan terbang tidak terlalu jauh dari Iran bagi menunjukkan kekuatan ketenteraan yang dimilikinya. - AFP

Perjanjian itu ditandatangani ketika AS di bawah pemerintahan Presiden ke-44, Barack Obama manakala Biden menjadi Naib Presidennya.

Iran menyatakan ia akan meningkatkan pengayaan uranium kepada 20 peratus ketulenan iaitu jauh lebih tinggi daripada 3.67 peratus yang ditetapkan dalam perjanjian nuklear tersebut.

Bagaimanapun, pakar-pakar menyatakan pengayaan uranium yang lebih tinggi tidak akan menyebabkan Teheran membina bom nuklear iaitu dakwaan yang selama ini dinafikan oleh Iran.

Setiausaha Pertahanan AS, Christopher Miller pernah berkata pada Ahad lalu bahawa beliau mengarahkan kapal pengangkut pesawat, USS Nimitz berada di rantau Teluk berikutan ancaman Iran ke atas beberapa pegawai AS termasuk Trump.

Bagaimanapun, seorang pakar nuklear di Institut Teknologi Massachusetts, Vipin Narang berkata kepada AFP, risiko untuk AS menyerang Iran masih kekal rendah tetapi memberi amaran kelakuan Trump tidak boleh diramal.

Katanya, kelakuan Trump tidak boleh diramal ketika sedang marah dan beliau kini berusaha untuk menafikan kemenangan Biden dalam pilihan raya Presiden AS pada 3 November lalu.

Seorang Naib Presiden Institut Quincy Untuk Tataurus Negara Bertanggungjawab, Trita Parsi dilaporkan menyatakan menerusi Twitternya bahawa bekas pegawai tentera AS memberitahunya kemungkinan berlaku perang menentang Iran.

Menurut bekas pegawai tentera itu kepada Parsi, tindakan ketenteraan itu akan melegakan tekanan Trump berhubung rakaman audio perbualannya dengan Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger baru-baru ini yang mendesak negeri tersebut mengira semula undi pilihan raya Presiden AS.

Parsi juga dilaporkan berkata, Trump telah membuat banyak ancaman ke atas Iran berbanding negara-negara lain selama empat tahun beliau mentadbir AS.

Dalam pada itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif mendakwa baru-baru ini bahawa beliau menyedari bahawa pentadbiran Trump terlibat dalam plot untuk mencipta alasan palsu bagi melancarkan perang pada hari-hari terakhirnya menjadi Presiden AS.

Baru-baru ini, Komander kanan Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Hossein Salami dilaporkan berkata, negaranya bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang tekanan ketenteraan daripada mana-mana negara.

Kapal pengangkut pesawat AS, USS Nimitz diarah berada di rantau Teluk berikutan ketegangan hubungan antara negara itu dengan Iran. -Foto AFP
Kapal pengangkut pesawat AS, USS Nimitz diarah berada di rantau Teluk berikutan ketegangan hubungan antara negara itu dengan Iran. -Foto AFP

Kenyataan itu ditafsirkan oleh media sebagai merujuk kepada AS kerana beliau

tidak menyebut nama AS ketika berucap pada ulang tahun pertama kematian seorang pegawai kanan Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Qassem Soleimani yang terbunuh dalam satu serangan dron AS dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, Iraq pada 3 Januari 2020.

Dalam pada itu, media Israel turut melaporkan bahawa salah sebuah kapal

selamnya menuju ke rantau Teluk dan Menteri Pertahanan rejim Zionis, Benny Gantz berkata baru-baru ini satu "kejadian" bakal berlaku tetapi beliau tidak mengulas lanjut.

Seorang jeneral AS yang sudah bersara, Jack Keane berkata pada Isnin lalu bahawa

penempatan aset-aset tentera AS baru-baru ini di rantau Teluk menunjukkan kemampuan besar yang dimiliki tentera negaranya.

Katanya, Iran juga berharap bahawa sekatan yang dikenakan Trump ke atas negara itu berhubung isu nuklear akan ditarik balik selepas Biden menggantikan Trump sebagai Presiden AS.

Pada tahun 2015, satu perjanjian nuklear ditandatangani antara Iran dengan AS bersama lima kuasa besar dunia yang mana Teheran membenarkan program nuklearnya diperiksa oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebagai gantinya sekatan bernilai berbilion-bilion dolar ke atasnya ditarik balik. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!