Lima atlet para positif Covid-19 dikuarantin

Megat D Shahriman
Megat D Shahriman
A
A
A

LIMA atlet para negara sedang menjalani kuarantin di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan di Kuala Lumpur selepas sah dijangkiti Covid-19 menerusi ujian calitan yang dilakukan pada Isnin.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Megat Zaharudin berkata, beliau dimaklumkan bahawa kesemua atlet berkenaan akan menjalani kuarantin sehingga ujian calitan kedua dilakukan pada hari kesembilan untuk pengesahan bebas daripada jangkitan itu.

“(Saya difahamkan) mereka telah menjalani kuarantin di sana (Pusat Kecemerlangan Paralimpik) dan sebahagian atlet telah diasingkan mengikut tingkat dan mereka tidak boleh bergerak (bebas),” katanya pada Selasa.

Megat Shahriman menjelaskan, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) turut mengeluarkan garis panduan kepada beberapa penyelaras yang berada di Pusat Kecemerlangan Paralimpik bagi memantau pergerakan kesemua atlet berkenaan.

Beliau pada masa sama turut menegaskan, MPM akan mematuhi sebarang arahan MSN dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan tiada atlet para negara dijangkiti pandemik berkenaan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menerusi satu kenyataan pada Isnin memaklumkan tujuh atlet negara termasuk lima atlet para disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan sebelum memulakan latihan berpusat menggunakan pendekatan kuarantin.

Kes positif berkenaan membabitkan dua atlet olahraga, tenis berkerusi roda (dua), bola keranjang berkerusi roda (dua) dan seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran serta seorang pegawai pengiring sukan boccia.

Seramai 466 daripada 735 atlet Program Podium dan pelapis kebangsaan serta jurulatih negara telah menjalani ujian calitan di pusat latihan masing-masing yang diselaraskan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN). - Bernama

Artikel Berkaitan: