2,027 kes Covid-19 direkod hari ini

Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 2,027 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan pada Selasa dengan lapan kematian turut direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini 122,845 kes.

"Jumlah kes aktif pula adalah 22,887 kes," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 16 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Penularan dalam negara adalah 2,011 kes," katanya.

Beliau berkata, Selangor terus mendominasi kes harian tertinggi dengan 509 kes dilaporkan.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 338 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Johor pula melaporkan 428 kes dan 383 kes di Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kuala Lumpur merekodkan 313 kes, Negeri Sembilan (98), Pulau Pinang (60), Kedah (47), Kelantan (42), Perak (25) dan Pahang (25) serta Melaka (25).

"Sarawak, Terengganu dan Putrajaya pula masing-masing mencatatkan 13 kes," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 123 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 52 memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya 509 kes," katanya.

"Berdasarkan ringkasan, kes kematian melibatkan mangsa berusia 52 hingga 78 tahun di Perak, Selangor dan Sabah.

"Pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah 1,221 kes menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 99,449 kes iaitu bersamaan 81.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu, pada perkembangan sama sebanyak 11 kluster baharu dikesan KKM.

Di Selangor, empat kluster baharu dikesan iaitu Kluster Jalan Playar dan Kluster Sri Suria di Petaling, Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih dan Kluster Bukit Angkat di Hulu Langat.

Di Sabah, Kluster Tombovo dikenalpasti dan dua kluster iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Desa dan Kluster Jalan Raja dikesan di Kuala Lumpur.

Pahang dan Sarawak turut mengesan masing-masing satu kluster iaitu Kluster Langit Selatan di Kuantan dan Kluster Bah Sayap di Miri.

Sementara itu, Kluster Mengkuang dikesan di Terengganu melibatkan Marang dan Kuala Nerus.

Orang ramai dinasihatkan agar terus patuhi saranan serta nasihat KKM bagi mengelakkan diri dijangkiti Covid-19.

Status Terkini #COVID19, 5 Januari 2021

Kes sembuh=1,221

Jumlah kes sembuh=99,449 kes

Kes baharu positif=2,027 kes (2,011 tempatan, 16 import)

Jumlah positif=122,845

Kes kematian=8

Jumlah kes kematian=509 kes

Kes dirawat di ICU=123 kes

Bantuan Alat Pernafasan=52 kes pic.twitter.com/AyzVdzRVIv

— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) January 5, 2021