Rumah ranap selepas tiga jam penghuni pindah keluar

Menyembah bumi... Dua unit rumah berkembar di Taman Gambang Damai runtuh 100 peratus dalam kejadian runtuhan tanah kira-kira jam 3.25 pagi tadi dekat sini, hari ini. Runtuhan berlaku dipercayai tanah di bawah rumah berkembar itu menjadi tidak kuat selepas dilanda banjir akibat hujan lebat tiga hari berturut-turut. - Foto Bernama
Menyembah bumi... Dua unit rumah berkembar di Taman Gambang Damai runtuh 100 peratus dalam kejadian runtuhan tanah kira-kira jam 3.25 pagi tadi dekat sini, hari ini. Runtuhan berlaku dipercayai tanah di bawah rumah berkembar itu menjadi tidak kuat selepas dilanda banjir akibat hujan lebat tiga hari berturut-turut. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Mangsa kejadian rumah musnah akibat tanah runtuh di Taman Gambang Damai di sini awal pagi pada Selasa bersyukur kerana ketika runtuhan berlaku dia sekeluarga sudah pun meninggalkan kediamannya lebih awal.

Suhaimi Yunus, 51 berkata, hanya selepas kira-kira tiga jam dia sekeluarga pindah keluar, runtuhan berlaku sehingga meranapkan keseluruhan rumahnya itu.

Menurutnya, dia menyedari kesan retak serius berlaku pada kabinet dapur selepas beberapa kepingan jubinnya tertanggal pada petang Isnin.

"Kami sekeluarga bimbang dan memilih untuk segera berpindah atas faktor keselamatan.

"Melalui bantuan rakan, saya berjaya mendapatkan rumah sewa di Taman Gambang Damai Satu tidak jauh dari sini," katanya.

Mengulas lanjut, Suhaimi yang juga pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang berkata, dia tidak menyangka episod duka itu berlaku awal tahun ini dan hanya dalam sekelip mata kediaman yang mereka diduduki sejak empat tahun lalu itu rebah menyembah bumi.

"Kerugian dialami dianggarkan lebih RM400,000 kerana banyak barang dan peralatan rumah musnah dalam kejadian ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua rumah musnah akibat tanah runtuh

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kehilangan harta benda dalam sekelip mata namun saya tetap bersyukur kerana ahli keluarga selamat," katanya.

Seorang lagi penduduk yang terjejas, Roslina Ahmad Said, 37 berkata, kejadian berlaku begitu cepat hanya dalam tempoh kira-kira lima minit sebelum rumah jirannya itu runtuh.

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menghulurkan bantuan logistik bagi membantu penduduk terjejas berpindah.
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menghulurkan bantuan logistik bagi membantu penduduk terjejas berpindah.

Katanya, bunyi runtuhan yang berlaku jam 3.30 pagi malam itu agak kuat menyebabkan ramai jiran keluar rumah untuk melihat kejadian berlaku,

Roslina merupakan jiran terdekat kepada dua rumah yang runtuh itu berkata walaupun kediamannya tidak terlibat dengan runtuhan itu namun dia turut diarah berpindah atas faktor keselamatan.

"Kebanyakan rumah di lorong 29 Taman Gambang Damai ini sudah berlaku keretakan terutama pada bahagian lantai depan rumah dan dinding sejak beberapa bulan lalu.

"Kemungkinan disebabkan kejadian banjir besar yang berlaku di kawasan ini kelmarin menyebabkan berlaku pergerakan tanah sebelum runtuh," katanya.

Dia yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir berkata, rumahnya sendiri kini tidak lagi selamat untuk diduduki berikutan tiang patah selain berlaku banyak retakan.

"Saya mungkin terpaksa menyewa rumah lain sementara menunggu tindakan pihak berkuasa," katanya.

Dalam kejadian awal pagi itu, dua rumah musnah dalam kejadian tanah runtuh di Taman Gambang Damai di sini, awal pagi pada Selasa.

Kejadian yang dilaporkan jam 3.40 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.

Selain itu, empat rumah turut dikenalpasti berisiko dan 22 lagi diarah dikosongkan atas faktor keselamatan.