KPJ Johor bantu mangsa banjir

A
A
A

KOTA TINGGI - Hospital Pakar KPJ Johor menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini pada Selasa.

Ketua Pegawai Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd Azhar Abdullah berkata, antara yang disumbangkan lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, makanan harian, ubat-ubatan dan alat perlindungan diri (PPE).

"Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa di PPS terbabit. Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihak KPJ Johor," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Tinggi.

Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi adalah yang tertinggi di Johor dan setakat ini 2,707 orang daripada 682 keluarga ditempatkan di 23 PPS melibatkan sekolah, dewan, surau dan balai raya.

Setakat jam 12 tengah hari pada Selasa, seramai 5,499 mangsa banjir daripada 1,414 keluarga ditempatkan di 52 PPS seluruh negeri.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Kota Tinggi, Wan Hamizah Wan Mohd Zain berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan yang diberikan kerana keperluan tersebut amat diperlukan penduduk yang terjejas akibat banjir.

"Antara keperluan yang amat diperlukan termasuklah lampin pakai buang dan susu. Kita akan diagihkan kepada individu yang memerlukan.

"Saya turut mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil untuk menghulurkan sumbangan ketika keadaan mencabar waktu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi bilik gerakan JKM Daerah Kota Tinggi menerusi talian 07-8835536.