PKPD di Apartment Amber Court dilanjutkan hingga 20 Januari

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court di Jalan Genting, Bentong yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan lagi sehingga 20 Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan ujian saringan kedua masih perlu dijalankan kepada sebahagian kontak rapat dan terdapat risiko jangkitan yang tinggi di lokaliti terbabit.

“Sehingga kini 1,180 ujian saringan Covid-19 telah dilakukan dan daripada jumlah itu 454 kes positif direkodkan,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor yang dijadualkan berakhir esok dilanjutkan sehingga 20 Januari ini selepas menerima nasihat dan penilaian risiko oleh KKM mengenai situasi di kawasan itu.

“KKM telah menjalankan 827 ujian saringan Covid-19 di kawasan ini dan sehingga kini 40 kes positif direkodkan. KKM juga sahkan masih terdapat pertambahan kes positif harian yang direkodkan dan baki 38 sampel saringan masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pekerja warga asing yang tidak dihantar oleh majikan untuk melakukan saringan Covid-19 akan ditamatkan permit kerja dan dianggap tidak sah untuk bekerja di negara ini.

Beliau berkata pihaknya telah berbincang perkara itu dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan majikan terus mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) itu.

Bermula 1 Disember 2020, kerajaan telah mengarahkan semua pekerja warga asing khususnya di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan COVID19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga 4 Januari lalu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 99,163 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 3,536 majikan.

"Daripada jumlah itu sebanyak 2,079 telah disahkan positif Covid-19 manakala 97,084 lagi adalah negatif,” katanya yang turut memaklumkan sebanyak 758 buah klinik terlibat dengan program saringan berkenaan.

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata, polis menahan 152 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) pada Isnin termasuk tidak memakai pelitup muka dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan atau merekodkan butiran diri.

Katanya, jumlah tangkapan itu melibatkan premis pub dan kelab malam pada 1 Januari lalu juga mencecah 623 kes.

“Saya telah dimaklumkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa mereka telah menulis surat kepada kerajaan-kerajaan negeri bagi mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri masing-masing mengambil tindakan lebih tegas kepada pemilik-pemilik premis pub dan kelab malam termasuk menarik lesen operasi serta menyenarai hitam premis terlibat,” katanya. - Bernama