X

Kindly register in order to view this article
!

Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 4,518

Bandar Kota Tinggi masih ditenggelami banjir pada Selasa selain merupakan daerah paling ramai menempatkan mangsa banjir iaitu di 19 buah PPS.
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor menurun semula dengan merekodkan 4,518 orang daripada 1,143 keluarga setakat jam 4 petang pada Selasa.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu terus menunjukkan penurunan berbanding 5,499 orang daripada 1,414 keluarga setakat jam 12 tengah hari.

"Sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Ming dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abdul Rahman Andak di Kluang masing-masing ditutup pada jam 1 tengah hari.

"Begitu juga Sekolah Agama Kampung Tengah dan Dewan Orang Ramai ditutup jam 1 tengah hari, manakala SJKC Layang-Layang di Kluang ditutup jam 2.30 petang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Katanya, banjir kekal melibatkan tujuh daerah setakat ini walaupun bilangan mangsa banjir di PPS mengalami naik dan turun iaitu di Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Mersing, Pontian dan Segamat.

Beliau berkata, ketika ini 40 PPS masih beroperasi dengan paling banyak di Kota Tinggi berjumlah 19 PPS yang melibatkan sekolah, dewan, balai raya dan surau.

Vidyananthan berkata, ini kerana Kota Tinggi merupakan daerah paling ramai mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, pihaknya bersedia menggunakan helikopter dan bot bagi menghantar bekalan makanan atau mengeluarkan penduduk cedera di kawasan yang terputus hubungan jalan darat.

Katanya, seramai 1,221 pegawai dan anggota JBPM Johor digerakkan bagi menangani bencana banjir yang sedang melanda negeri ini.

"Sebanyak 42 buah bot, 43 kenderaan pacuan empat roda, sembilan unit lori serta 18 ambulan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersedia untuk digerakkan ke lokasi banjir," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!