Mohon mahkamah keluar amaran tegas kepada Najib

Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi pada Selasa bagi perbicaraan berhubung empat pertuduhan menggunakan jawatannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 dakwaan pengubahan wang haram melibatkan wang dengan jumlah sama. - Foto Bernama
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi pada Selasa bagi perbicaraan berhubung empat pertuduhan menggunakan jawatannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 dakwaan pengubahan wang haram melibatkan wang dengan jumlah sama. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak telah memohon mahkamah mengeluarkan amaran tegas terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana menyerang bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang merupakan saksi di Facebooknya.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram membangkitkan perkara itu di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah berikutan komen dalam talian yang dimuat naik Najib pada 29 Disember lepas mengenai Zeti yang didakwa menerima wang 1MDB.

Najib dalam hantaran di Facebooknya telah menggesa Zeti yang disenaraikan sebagai seorang daripada saksi pendakwaan untuk membalas catatan blog yang mendakwa keluarganya telah menerima sejumlah wang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang termasuk dana 1MDB.

“Saya tidak mahu mengemukakan permohonan untuk menarik balik ikat jaminnya atau memulakan prosiding menghina, tetapi saya amat bersyukur sekiranya mahkamah mengeluarkan amaran tegas terhadap tertuduh agar tidak melakukannya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Zeti Akhtar nafi terlibat skandal 1MDB

“Perbicaraan harus berlangsung di mahkamah undang-undang, bukan domain awam dan tentunya bukan di media sosial. Kami mahu jaminan bahawa saksi kami tidak akan diserang,” kata Sri Ram.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam jawapan balasnya berkata, Najib dihalang daripada berkongsi pendapatnya mengenai isu itu, ia adalah umpama “peninju yang dihantar ke gelanggang dengan kedua-dua tangan terikat, boleh menerima pukulan tetapi tidak dapat membalasnya kembali”.

Muhammad Shafee menegaskan beliau sebelum ini telah memohon perintah larangan bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk menghentikan media dan pihak awam membincangkan merit kes SRC International Sdn Bhd, tetapi permohonan itu telah ditolak.

“Semua orang boleh mengatakan segala-galanya mengenai anak guam saya. Mereka menggelar beliau penyangak, perompak dan tiada siapa yang mengambil tindakan. Peguam Negara terdahulu atau Peguam Negara sekarang, mereka tidak melakukan apa-apa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee kemudian bertanya kepada hakim jika perkara itu boleh ditangguhkan kerana beliau mahu membentangkan lebih lanjut pada Khamis ini yang dipersetujui oleh hakim.

Terdahulu, peguam itu memohon mahkamah agar Najib diberi kelapangan daripada menghadiri perbicaraan pada Rabu kerana beliau mahu menjalankan tanggungjawabnya untuk melawat kawasan Pekan yang terjejas teruk dilanda banjir.

“Saya telah bertanya kepada beliau sama ada beliau pergi ke sana minggu lepas dan beliau berkata tidak kerana belum berlaku banjir pada masa itu, tetapi situasi sejak dua hari lepas seperti yang dipaparkan media, jauh lebih buruk dan beliau ingin berada di sana untuk bertemu dengan pengundinya. Jika tidak akan ada kata-kata dan persoalan mengenai ketidakhadirannya, kata Muhammad Shafee.

Hakim, Sequerah tidak membenarkan permohonan itu dan meminta perbicaraan diteruskan seperti yang dirancang pada Rabu.

Najib, 67, didakwa terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Sequerah bersambung. - Bernama