Balu bekas wartawan Sinar Harian terima faedah Perkeso

Othman (dua dari kanan) menyampaikan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 kepada Jamilah selepas suaminya meninggal dunia pada Ahad lalu akibat serangan jantung.
Othman (dua dari kanan) menyampaikan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 kepada Jamilah selepas suaminya meninggal dunia pada Ahad lalu akibat serangan jantung.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Balu kepada bekas wartawan Sinar Harian, Shaiful Azhar Ahmad Ali yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Ahad lalu menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Jamaliah Zakaria, 42 menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 dan faedah pencen penakat yang disampaikan oleh Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Othman Nordin di kediamannya di Taman Alma Jaya di sini pada pagi Selasa.

Othman berkata, walaupun Allahyarham telah lama menamatkan kerjayanya bersama Sinar Harian namun dia pernah mencarum dengan Perkeso sebelum ini sekali gus membolehkan balu serta warisnya menerima manfaat yang disediakan.

Menurutnya, balu Allahyarham dan lima anak-anaknya akan menerima bayaran pencen penakat sehingga akhir hayat dan semua bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank.

"Pencen berkenaan juga termasuk perbelanjaan untuk anak Allahyarham sehingga mereka berusia 21 tahun ataupun selepas tamat pengajian ijazah pertama di universiti," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas mengadakan lawatan ke atas balu Allahyarham di sini pada Selasa.

Hadir sama, skuad Perkeso Prihatin yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada keluarga Allahyarham.

Sementara itu, Jamaliah melahirkan rasa syukur atas bantuan disampaikan oleh Perkeso kerana ia meringankan bebannya apabila hilang tempat bergantung selama ini.

Jamilah berkata, dia reda dengan dugaan berat yang menimpa keluarganya dan akan menggunakan wang pencen yang diterima itu dengan sebaiknya untuk membesarkan lima orang anaknya.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, terima kasih Skuad Perkeso Prihatin kerana datang ke rumah dan mengambil berat soal kebajikan kami.

"Saya tidak sangka Perkeso akan turun padang secepat ini menziarahi kami dan menyampaikan bantuan ini," katanya.

Ahad lalu, bekas wartawan Sinar Harian, Shaiful Azhar Ahmad Ali dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada jam 10.15 pagi.

Kematian mengejut Allahyarham Shaiful Azhar yang ketika ini bertugas sebagai polis bantuan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim Bandar Baharu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kulim Bandar Baharu, Superintendan Azhar Hashim.

Shaiful Azhar yang berusia 51 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung dan jangkitan kuman setelah ditemukan pengsan di rumah pada pagi Sabtu.

Allahyarham Shaiful Azhar pernah berkhidmat sebagai wartawan di Sinar Harian bermula tahun 2008 sehingga tahun 2013.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Masjid Jamek Alma Jaya di sini pada Isnin.