HSR batal satu kerugian buat Negeri Sembilan

Aminuddin membuat gimik pelancaran Kempen Penanaman 100 juta pokok di Bukit Berembun Jalan Bukit Putus, Seremban pada Selasa.
Aminuddin membuat gimik pelancaran Kempen Penanaman 100 juta pokok di Bukit Berembun Jalan Bukit Putus, Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan kerajaan membatalkan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura merupakan satu kerugian besar buat Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembatalan tersebut turut merencatkan pembangunan ekonomi negeri ini terutama di kawasan Stesen Keretapi Labu yang sebelum ini akan dijadikan salah satu laluan HSR.

Beliau berkata, projek tersebut sepatutnya dapat membantu mempercepatkan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV), bagaimanapun ia terjejas apabila berlaku sebaliknya.

"Projek HSR adalah salah satunya untuk mempercepatkan hubungan di bahagian selatan Malaysia seperti di Klang dan Johor Bahru, tetapi apabila dibatalkan, ia merencatkan pelaburan di Negeri Sembilan. Sudah pasti kawasan utama terminal di Labu itu akan terjejas, namun kita akan bangunkan dengan pembangunan lain.

"Bagaimanapun, kita akan terus berusaha untuk meyakinkan pelabur terus melabur di negeri ini dengan melihat kepada pembangunan lain di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita pada Program Pelancaran Kempen Penanaman 100 juta Pokok 2021-2025 di Bukit Berembun, Jalan Bukit Putus di sini pada Selasa.

Aminuddin berkata, meskipun projek HSR telah dibatalkan, namun kerajaan negeri akan terus mengekalkan laluan tersebut sebagai persediaan untuk kegunaan pembangunan pada masa akan datang.

Setakat ini, katanya, tiada sebarang pengambilan tanah dilakukan, malah tanah penduduk kampung di kawasan terlibat juga tidak terjejas.

"Sebelum ini kita merancang untuk membuat pengambilan tanah hanya jika laluan tersebut digunakan tetapi sekarang projek pun sudah batal, kita pun tidak buat apa-apa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat keperluan pembangunan lain yang sesuai di kawasan tersebut untuk merancakkan semula pembangunan ekonomi di Negeri Sembilan.

HSR dicadangkan pada tahun 2010 sebagai antara inisiatif Program Transformasi Ekonomi dan kemudian ditangguhkan pada Mei 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berikutan kajian semula terhadap beberapa komitmen pelaburan utama kerajaan.

Kerajaan sebelum ini memilih Labu di simi sebagai salah satu stesen HSR di Negeri Sembilan.