Batal HSR: Kerajaan lemah dalam membuat keputusan

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura mencerminkan kelemahan kerajaan Malaysia dalam pentadbiran dan membuat keputusan yang tepat.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertama, kerajaan Malaysia seperti tidak tahu apa yang sebenarnya ingin dimanfaatkan daripada kerjasama serantau dengan Singapura.

Menurutnya, kerajaan Malaysia tidak dapat membuat keputusan yang tegas dan konsisten berhubung integrasi ekonomi rentas sempadan kedua-dua negara, malah memaparkan pendirian yang berubah-ubah.

"Malaysia kini hilang peluang keemasan untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua bandar metropolis yang merupakan antara enjin ekonomi utama Asia Tenggara.

"Kedua, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memaparkan komitmen dan kesungguhan yang sentiasa berubah-ubah dan saling bercanggahan, sama seperti kerajaan Pakatan Harapan (PN)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Pada Jumaat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembatalan projek berkenaan kerana tiada kata putus dapat dicapai antara kedua-dua negara terlibat.

Pada Sabtu pula Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, Malaysia perlu membayar pampasan kepada republik itu atas pembiayaan ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.

HSR merupakan sebuah projek mega semasa Mohamed Khaled menjadi Menteri Besar Johor yang sudah ditandatangani memorandum persefahamannya dan sebelum ini dijadualkan siap dan beroperasi selepas tahun 2026.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, bukti pendirian yang berubah-ubah itu apabila Perdana Menteri pada Jun 2020 mengumumkan strategi Malaysia untuk meneruskan projek mega seperti projek HSR dalam usaha merancakkan ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19.

"Pendirian ini terus diutarakan dalam Ucapan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan. Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) baru-baru ini mengulas bahawa situasi ekonomi yang terkesan akibat Covid-19 memaksa model pelaksanaan projek HSR dikaji semula.

"Akibat sikap tidak konsisten ini, projek HSR yang mendatangkan pelbagai manfaat ekonomi menjadi mangsa ketidakpastian. Ketiga, kerajaan PN kurang memahami analisis kos-faedah jangka masa panjang projek HSR," katanya.

Jelasnya, peningkatan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura akan menghasilkan banyak manfaat daripada segi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, persekitaran perniagaan, daya tarikan pelaburan serta lonjakan pelancongan yang melangkaui kos infrastruktur tersebut.

Selain pembangunan sosioekonomi di bandar sepanjang jajaran projek HSR katanya, projek itu yang diilhamkan dalam Program Transformasi Ekonomi akan melonjakkan usaha merancakkan pertumbuhan wilayah selatan untuk transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

"Malah, analisis simulasi penyelidik Institute of Developing Economies dari Jepun mendedahkan bahawa kesan ekonomi HSR untuk Malaysia dalam gabungan dasar terbaik adalah USD1.589 bilion (RM6.38 bilion) setiap tahun menjelang tahun 2030, hampir 2.5 kali ganda kesan ekonomi terhadap Singapura.

"Mengapakah projek ‘game changer’ yang sepatutnya memartabatkan ekonomi negara Malaysia dipolitikkan dan cuba diubah-ubah sehingga akhirnya dibatalkan? Adakah projek infrastruktur lain yang mendatangkan pelbagai limpahan faedah kepada rakyat Malaysia akan menanggung nasib yang serupa dalam tangan kerajaan Perikatan Nasional," soalnya.