Penjawat awam didakwa buat tuntutan palsu

Tertuduh (tengah, pakai topi) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
Tertuduh (tengah, pakai topi) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa atas pertuduhan mengemukakan dua tuntutan palsu berjumlah RM16,344 antara Disember 2017 dan Jun 2018.

Tertuduh, Muhammad Rasydan Ismail, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat memperdayakan dua prinsipalnya itu di Unit Kewangan dengan menyerahkan kepada Penolong Akauntan Kanan satu invois berjumlah RM9,864 pada Disember 2017 dan satu invois bernilai RM 6,480 kepada Penolong Akauntan pada Jun 2018.

Invois berjumlah RM9,864 dikeluarkan tertuduh bagi menyediakan makan minum untuk peserta Bengkel Pengurusan Operasi Banjir pada 3 hingga 5 Disember 2017 dengan mengetahui sebenarnya pembekalan makanan itu tidak dilaksanakan pada tarikh sebagaimana dalam tuntutan dibuat.

Invois kedua berjumlah RM6,480 pula dikeluarkan tertuduh pada Jun 2018 untuk pembekalan makan minum bagi peserta bengkel perancangan dan persediaan kawad kecekapan 2018 pada 6 hingga 8 Mei 2018.

Tertuduh didakwa menyedari prinsipal mempunyai kepentingan mengenainya dan mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butir dokumen palsu iaitu pembekalan tersebut tidak dilaksanakan pada tarikh sebagaimana dalam tuntutan.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili Nur Shahida Shaifuddin selaku peguam bela bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan atas budi bicara mahkamah.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Jamaludin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap 1 haribulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 2 Febuari ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.