Ketua UMNO Bahagian Subang positif Covid-19

Armand Azha memaklumkan beliau positif Covid-19 menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Armand Azha memaklumkan beliau positif Covid-19 menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengesahkan beliau positif Covid-19 pada Selasa.

Menerusi rakaman video dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Armand Azha memaklumkan beliau mengetahui mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19 pada Isnin.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan perkara itu, beliau segera membuat ujian saringan Covid-19.

“Saya dimaklumkan saya ada kontak rapat dengan seseorang yang positif Covid-19 pada dua hari lalu. Saya bertemu dengan individu tersebut pada 28 Disember lalu.

“Selepas dimaklumkan hal itu semalam (Isnin), saya terus membuat ujian swab demi keselamatan diri, keluarga dan rakan-rakan. Saya dimaklumkan positif Covid-19 pagi tadi (Selasa),” katanya.

Armand Azha dalam pada itu memohon maaf atas segala kekhilafan dan kesilapan terhadap apa yang berlaku.

Menurutnya, doktor memintanya membuat pengasingan dan kuarantin kendiri di rumah.

“Doktor minta saya untuk jaga kesihatan, banyak minum air dan tambahkan protein serta makan makanan sihat. Kalau ikutkan sudah lapan hari, namun saya akan bermula kuarantin selama 10 hari bermula saya dapat keputusan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Saya minta ampun kepada sahabat-sahabat. Ini satu perkara yang tidak terfikir tapi telah berlaku. Saya doakan yang terbaik semua, Saya mohon rakan-rakan untuk bersama-sama doakan keselamatan diri dan keluarga saya,” katanya.

Sebelum ini, Armand Azha juga hadir semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Subang di Bangunan Kumpulan Muara di sini pada Ahad.