PM lawat mangsa banjir di Kota Tinggi

Muhyiddin (tengah) menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi pada Selasa.
Muhyiddin (tengah) menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kota Tinggi untuk melawat mangsa banjir di daerah ini.

Muhyiddin tiba jam 12 tengah hari di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kolej Vokasional Kota Tinggi sebelum mendengar taklimat banjir di PPS terbabit.

Mengiringi Ahli Parlimen Pagoh itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Selepas itu, Perdana Menteri meluangkan masa hampir sejam melawat mangsa banjir di PPS berkenaan sebelum menyerahkan sumbangan kepada mangsa.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 126 mangsa daripada 28 keluarga dari Taman Kota Jaya ditempatkan di PPS di Kolej Vokasional.

Perdana Menteri kemudian melawat mangsa banjir yang ditempatkan PPS di Sekolah Kebangsaan ( SK) Laksamana pada jam 12.50 tengah hari.

Muhyiddin (dua dari kanan) melawat mangsa banjir di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi pada Selasa.
Muhyiddin (dua dari kanan) melawat mangsa banjir di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi pada Selasa.

Sementara itu, mangsa banjir, Saodah Abdul Aziz, 68 mengakui keletihan berpindah ke PPS di Kolej Vokasional Kota Tinggi, kira- kira jam 4.35 pagi pada Selasa, hilang selepas dapat bertemu dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

"Syukur dapat jumpa Perdana Menteri. Kalau boleh tadi memang hendak berbual lama dengan Perdana Menteri, sebab beliau sangat prihatin bertanya khabar saya dan suami Kamaruddin Abdul Hamid, 66 yang ditempatkan di PPS di sini.

"Bantuan diberikan kepada mangsa banjir di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi mencukupi dan kebajikan mangsa juga terjaga,"katanya.

Menurut Saadoh, banjir yang melanda kawasan kediamannya di Taman Kota Jaya pada sebelah malam itu menyebabkan dia bimbang dan mengambil keputusan untuk berpindah ke PPS berdekatan.

"Saya memang fobia setiap kali nampak air parit sudah penuh teringat kejadian banjir besar yang menenggelamkan Kota Tinggi pada tahun 2006.

" Bila air parit sudah penuh malam tadi, saya dan suami ambil keputusan untuk segera berpindah ke PPS kerana bimbang soal keselamatan kami di rumah bila banjir," katanya.