ATM kerah anggota, gerak aset bantu mangsa banjir

Ismail Sabri (kiri) bersama Affendi ketika sidang media mengenai Atur Gerak Angkatan Tentera Malaysia dalam Operasi Murni (Bantuan Pengurusan Bencana-Banjir) di Wisma Pertahanan Selasa. Foto Bernama
Ismail Sabri (kiri) bersama Affendi ketika sidang media mengenai Atur Gerak Angkatan Tentera Malaysia dalam Operasi Murni (Bantuan Pengurusan Bencana-Banjir) di Wisma Pertahanan Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mula mengatur gerak seramai 4,983 pegawai dan anggota tentera berserta 1,015 aset dalam Op Murni bagi membantu mangsa-mangsa banjir di enam buah negeri yang terjejas teruk.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam negeri iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak dilanda bah sejak akhir minggu lepas, dan kini melibatkan pemindahan 22,699 mangsa banjir di 282 pusat pemindahan.

Beliau berkata, 4,983, pegawai dan anggota tentera yang diatur gerak itu adalah bagi membantu memindahkan mangsa banjir, selain memasang jambatan jenis ‘bailey bridge’ bagi menghubungkan jalan kampung yang terputus akibat bencana tersebut dengan pusat bandar.

Aset-aset ATM yang digerakkan melibatkan 800 buah trak pelbagai saiz, 197 pelbagai bot, 10 jambatan bailey bridge, enam buah helikopter dan dua buah pesawat pengangkut, katanya pada sidang akhbar mengenai atur gerak ATM dalam Op Murni Bantuan Pengurusan Bencana Banjir, di Wisma Pertahanan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, ATM juga telah mengatur gerak sebahagian trup dan asetnya ke negeri-negeri terjejas teruk iaitu iaitu daripada Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja di kawasan tanggungjawab di Pahang iaitu Kuantan dan Maran, manakala Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di kawasan Pekan dan Rompin.

Beliau berkata, di Johor pula, trup Batalion 10 Rejimen Askar Melayu Diraja dihantar ke tujuh daerah terjejas iaitu Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Kluang dan Johor Bahru, manakala Rejimen 33 Artileri Diraja diatur gerak ke Kota Tinggi.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan banjir, Ismail Sabri berkata, setiap pusat pemindahan banjir telah mempunyai SOP.

“Kami ‘alert’ dengan situasi semasa Covid-19 yang terkini, oleh itu orang ramai tidak perlu bimbang kerana cara memindahkan orang tua yang uzur ketika banjir juga mempunyai SOP,” katanya

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany. - Bernama