Arab Saudi-Qatar mulai berbaik-baik

Gambar fail menunjukkan sempadan pintu masuk ke Arab Saudi dari Salwa, Qatar. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sempadan pintu masuk ke Arab Saudi dari Salwa, Qatar. - Foto AFP
A
A
A

BANDAR RAYA KUWAIT - Arab Saudi akan membuka semula sempadan negaranya dengan Qatar termasuk ruang udaranya, kata pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Kuwait pada Isnin.

Ia merupakan satu tindakan besar ke arah menamatkan perbalahan diplomatik yang menyaksikan Riyadh sebelum ini mengetuai satu pakatan untuk meminggirkan Doha.

Pengumuman itu dibuat menjelang sidang tahunan Majlis Kerjasama Teluk melibatkan enam buah negara yang berlangsung di bandar Al-Ula, barat laut Arab Saudi dengan perbalahan tersebut menjadi agenda utama perbincangan.

Dalam satu lagi petunjuk bahawa perbalahan selama tiga tahun dan enam bulan itu dijangka berakhir tidak lama lagi, Pejabat Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani berkata, beliau akan menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Sebelum ini, beliau tidak menghadiri sidang tahunan itu sejak tiga tahun lalu.

Riyadh mengetuai satu pakatan melibatkan beberapa buah negara di Teluk dengan meminggirkan Qatar malah bertindak memutuskan hubungan dengan Doha pada Jun 2017.

Tindakan itu dibuat kerana ia mendakwa Qatar terlalu rapat dengan Teheran dan menyokong kumpulan radikal Islam.

Bagaimanapun, Doha menafikan dakwaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Washington sebelum ini meningkatkan tekanan supaya satu penyelesaian dicapai terhadap apa yang didakwa Qatar sebagai satu "kepungan" ekoran tindakan diketuai Arab Saudi tersebut.

Ia menyatakan satu kesatuan negara-negara Teluk diperlukan bagi menghadapi musuh Amerika iaitu Iran ketika tempoh pemerintah Presiden AS, Donald Trump akan berakhir pada 20 Januari ini.

Jared Kushner iaitu menantu lelaki Trump yang merupakan penasihat kanannya dan pernah menemui pemimpin-pemimpin di rantau Teluk bagi mencari penyelesian berhubung perbalahan tersebut akan menghadiri majlis menandatangani penyelesaian isu berkenaan pada sidang kemuncak itu, kata seorang pegawai AS.

Menteri Luar Kuwait, Ahmad Nasser Al-Sabah mengumumkan menerusi televisyen kerajaan bahawa persetujuan telah dicapai bagi membuka ruang udara dan sempadan laut serta udara antara Arab Saudi dengan Qatar.

Pembukaan sempadan Arab Saudi dengan Qatar itu bermula pada malam Isnin lalu. - AFP