Tiada kompromi dengan scam poligami

MOHAMMAD ADIB - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
MOHAMMAD ADIB - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PEMBONGKARAN sindiket poligami yang digelar scam poligami dipercayai didalangi orang dalam institusi kehakiman syariah negara yang didedahkan Sinar Harian merupakan isu yang tidak boleh dipandang sebelah mata kerana ia melibatkan integriti institusi berteraskan keagamaan itu.

Bagi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (Jakess), mereka tidak tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud sindiket poligami di negeri itu walaupun pada ketika ini institusi itu tidak menerima sebarang laporan.

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Raiham Mohd Sanusi dan jurugambar, Asril Aswandi Shukor bersama Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain di Pejabat Jakess di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, Shah Alam pada Isnin.

SINAR HARIAN: Ada suami yang mengambil jalan mudah untuk berpoligami termasuklah tidak mendapatkan kebenaran isteri pertama, memalsukan dokumen atau berkahwin di Siam. Apakah pendapat Datuk apabila tindakan dan amalan suami ini sehingga pelbagai pihak mungkin turut bersekongkol untuk terlibat sama?

MOHAMMAD ADIB: Saya nak respons tentang pemalsuan dokumen ini. Pengalaman kami di Selangor tidak menerima aduan berkaitan scam poligami.

Apabila kami menerima permohonan berpoligami, Seksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu.

Biasanya mahkamah panggil sebagai saksi untuk mahkamah menilai adakah perkahwinan ini wajar atau tidak. Isteri itu kalau ada dua, kita panggil dua-dua. Supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam mahkamah tertutup, dan mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati.

Di sini tiada istilah persetujuan isteri. Apa yang penting isteri itu dipanggil ke mahkamah untuk kita dapat apa respon tentang permohonan itu. Setuju atau tidak itu mahkamah akan ambil perhatian tetapi bukanlah permohonan itu dibenarkan kerana isteri itu setuju. Bukan seperti itu.

Mahkamah kena tengok sama ada kalau isteri setuju sekali pun, mahkamah kena lihat perkahwinan yang bakal diadakan itu patut atau perlu. Kalau tidak patut atau tidak perlu, mahkamah akan tolak sekalipun jika isteri setuju.

Artikel Berkaitan:

Kalau isteri tidak setuju atas sebab-sebab tertentu tetapi mahkamah lihat perkahwinan itu patut dan perlu, mahkamah akan benarkan. Mahkamah akan tengok semua itu.

Kembali kepada soalan tadi, jika suami ingin berpoligami menggunakan dokumen tidak betul, itu perkara yang tidak wajar berlaku. Sebabnya poligami ini satu perkara yang dibenarkan dalam Islam. Kita juga ada undang-undang yang sewajarnya. Bagi seorang lelaki yang matang yang hendak berpoligami, gunakan saluran yang betul. Itu barulah lelaki yang bertanggungjawab. Kita ada saluran dan proses yang lengkap.

MOHAMMAD ADIB - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
MOHAMMAD ADIB - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Tindakan suami yang mengambil jalan yang mudah dengan guna dokumen tidak betul, kalau betul berlaku, atau berpoligami di luar negara, adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan undang-undang dan boleh diambil tindakan.

Kalau menipu, contohnya dengan memberikan akuan palsu, dia juga boleh dikenakan tindakan sama ada di bawah Kanun Keseksaan ataupun Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Perbuatan ini akan menyebabkan banyak penganiayaan kepada wanita kalau dia menggunakan akuan palsu. Isteri-isteri akan teraniaya. Atau dia menikah di luar negara, poligami tanpa kebenaran, dia juga akan menganiaya isteri dan adakah perkahwinan yang dilakukan di luar negara itu menggunakan wali yang betul, tempat yang betul, sah atau tidak pernikahan itu. Kalau wali itu tidak bertauliah, kemungkinan pernikahan itu tidak sah.

Mungkin perkahwinan luar negara itu, walau wujud perkahwinan itu, ia belum dikira sah dari segi undang-undang dan hukum syarak, selagi mana perkahwinan itu tidak diperintah untuk didaftarkan dan disahkan oleh mahkamah.

Beberapa hari lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai kewujudan scam atau pemalsuan dokumen poligami. Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sendiri tidak menolak kewujudan sindiket ini. Adakah Datuk pernah mendengar atau menerima aduan di Selangor?

Kami di Selangor memandang serius dan mengambil berat isu ini iaitu scam poligami seperti yang dilaporkan. Saya tidak akan berkompromi sama sekali jika ia berlaku.

Bagaimanapun setakat ini, dalam pengetahuan saya, Alhamdulillah isu ini tidak berlaku di Selangor kerana kami melaksanakan prosedur yang ketat yang selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa di negeri ini iaitu di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Setakat ini juga seperti yang saya nyatakan, kami tidak menerima sebarang aduan sama ada daripada pihak isteri atau pihak lain berkaitan scam atau penyalahgunaan dokumen dalam urusan berpoligami di Selangor.

Dalam kes berpoligami di Selangor, isteri yang sedia ada akan menjadi defendan dalam permohonan berpoligami. Mereka perlu hadir ke mahkamah untuk menyatakan pandangan isteri atau mengemukakan bukti bagi permohonan suami untuk berpoligami.

Penyata tuntutan yang difailkan oleh suami, pihak isteri kena jawab. Mahkamah akan bagi ruang. Jika isteri tidak hadir, ia tidak bermakna permohonan poligami itu akan terus diluluskan. Mahkamah akan keluarkan notis atau hubungi isteri untuk mengarahkan kehadirannya. Jika isteri masih enggan hadir, barulah mahkamah akan meneruskan perbicaraan dan mendengar keterangan suami serta meneliti bukti-bukti yang ada. Selepas itu, barulah mahkamah akan mempertimbangkan sama ada permohonan poligami itu akan diluluskan ataupun tidak.

Kriteria yang diambil kira adalah:

(a) Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada antara lain, hal-hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada

(b) Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu

(c) Bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak dan

(d) Bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syari’e kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

Selain daripada itu, kami juga melaksanakan kawalan dan pemantauan yang sangat ketat terhadap proses kerja bagi pengendalian dan perbicaraan semua kes di mahkamah syariah Selangor termasuk kes poligami kerana semua proses yang kita buat akan diaudit setiap tahun oleh pihak kami dan pihak luar iaitu SIRIM bagi memenuhi kehendak dan syarat pensijilan MS1900:2014 (Berasaskan Syariah) dan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001: 2015.

Dalam laporan Sinar Harian juga, pelbagai pihak mendakwa kemungkinan wujud salah guna kuasa dan amalan rasuah. Adakah benar wujud salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan orang dalam atau ia masih dalam siasatan pihak JKSM?

Maaf, perkara ini tiada dalam pengetahuan saya tetapi jika benar-benar wujud saya pasti pihak JKSM akan mengambil tindakan yang sewajarnya seperti menjalankan siasatan yang rapi. Namun seperti yang saya katakan, dalam pengetahuan saya, di Selangor masih tiada kes itu dan tiada aduan daripada mana-mana pihak.

Memetik kata-kata Ketua Pengarah JKSM, jika ada ejen terlibat dengan scam ini, ejen itu menzalimi wanita. Jika hakim terlibat, hakim juga menzalimi wanita. Apakah yang perlu dilakukan pihak wanita yang tertipu dan bagaimana di pihak Jakess sendiri membantu isteri-isteri ini?

Sekali lagi saya tegaskan di Selangor memang tiada aduan diterima berhubung kes scam poligami ini tetapi sekiranya berlaku saya akan pandang serius tentang perkara ini kerana ia berkaitan dengan integriti. Jika perkara ini berlaku, nasihat saya mudah. Laporkan secara rasmi kepada pihak berkuasa termasuk kepada saya.

Bawa segala dokumen, bukti penipuan dan saksi jika ada yang boleh dipanggil untuk beri keterangan. Saya sendiri secara peribadi tidak akan berdiam diri atau berkompromi dengan sebarang isu yang melibatkan salah laku atau salah guna kuasa dalam apa juga perkara yang berada di bawah pentadbiran saya dan akan mengambil tindakan yang tegas.

Jika perlu, kita akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan pihak berkenaan dibawa ke muka pengadilan.

Bagi isteri-isteri yang menjadi mangsa, mereka boleh menuntut hak mereka. Kalau mereka tahu suami mereka telah melakukan penipuan untuk poligami, isteri boleh buat aduan dan tuntutan hak mereka. Kalau poligami dibuat mengikut saluran yang betul, isteri boleh tuntut nafkah, pembahagian harta sepencarian dan sebagainya di Mahkamah Syariah. Misalnya jika permohonan poligami diluluskan, mahkamah akan perintahkan berapa nafkah isteri, nafkah anak setiap seorang, tempat tinggal, giliran bermalam dan sebagainya.

Jadi kalau isteri tidak tahu suami dah lulus poligami, dia boleh buat tuntutan yang sama di mahkamah untuk menuntut hak mereka. Mereka boleh hubungi talian Jakess untuk mendapatkan khidmat nasihat dan runding cara lanjut daripada pegawai kami yang bertugas secara dalam talian.

Di Selangor sendiri, adakah apa-apa talian atau cara untuk wanita di Selangor membuat aduan mengenai kes mereka dan adakah aduan mereka ini didengari?

Ada banyak cara yang mereka boleh buat. Mereka boleh berhubung dengan saya sendiri, ketua pendaftar, pendaftar dan pegawai komunikasi korporat kami sama ada melalui talian telefon atau melalui e-mel yang tertera dalam ‘directory’ di laman sesawang Jakess. Mereka juga boleh hadir secara fizikal dengan temu janji awal.

Mereka juga boleh kemukakan aduan secara bertulis menerusi Sistem Pengurusan Aduan (Sispaa). Kita juga sediakan borang aduan di kaunter mahkamah. Telah menjadi dasar dan prinsip jabatan untuk memberi perhatian yang serius terhadap sebarang aduan dan maklum balas yang dikemukakan kepada jabatan ini. Kita akan buat siasatan dan beri maklum balas. Setiap aduan yang diterima kita akan tubuhkan satu jawatankuasa atau kita minta pegawai yang berkaitan di mahkamah untuk membuat siasatan awal terlebih dahulu.

Pada pendapat Datuk kenapa kerajaan, pihak berkuasa dan orang ramai perlu sama-sama membanteras kegiatan scam poligami ini daripada berleluasa. Adakah benar ia menjejaskan kredibiliti mahkamah syariah dan institusi keluarga di negara ini?

Ya, saya setuju, pihak berkuasa dan orang ramai perlu bersama-sama membanteras kegiatan scam poligami ini kalau ia benar-benar berlaku agar ia tidak terus berleluasa. Isu ini bukan sahaja boleh mencalarkan imej Mahkamah Syariah, tetapi ia juga boleh menjejaskan institusi rumah tangga itu sendiri. Poligami ini dibenarkan mengikut hukum syarak tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat tertentu.

Malangnya apabila pelaksanaannya dibuat secara tidak betul, masyarakat terutamanya wanita akan melihat bahawa poligami itu adalah perkara yang sangat negatif. Itu yang kita nak elakkan. Isteri juga akan hilang kepercayaan kepada suami dan inilah yang akan meruntuhkan rumah tangga.

Sebab itu kita perlu memastikan bahawa pelaksanaan poligami itu hendaklah dilaksanakan secara betul, berhati-hati dan mematuhi undang-undang dan hukum syarak supaya syariat dan hikmah keharusan poligami itu dapat diterjemahkan secara betul kepada masyarakat.