Prasarana nafi tahan pembayaran kepada kontraktor LRT3

Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap pada sidang media mengenai operasi serta pencerahan berkenaan isu-isu berkaitan kumpulan tersebut di Ibu Pejabat Prasarana di Menara UOA, Bangsar hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap pada sidang media mengenai operasi serta pencerahan berkenaan isu-isu berkaitan kumpulan tersebut di Ibu Pejabat Prasarana di Menara UOA, Bangsar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Bhd telah menafikan bahawa kumpulan itu menahan pembayaran kepada kontraktor utama projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), MRCB-George Kent Sdn Bhd (MRCBGK).

Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kumpulan telah membayar sejumlah RM3.468 bilion setakat 2 Oktober 2020 yang membabitkan bahagian projek yang telah dilaksanakan oleh MRCBGK.

Bagaimanapun, bagi invois berjumlah RM380 juta bertarikh 8 Oktober dan 8 November, 2020, pembayaran itu belum dibuat memandangkan kumpulan masih melakukan langkah usaha wajar ke atas invois tersebut.

Beliau dalam satu taklimat media hari ini menjelaskan aliran tunai semasa kumpulan akibat pandemik Covid-19 telah menyebabkan Prasarana bertindak mengkaji semula perbelanjaannya untuk memastikan kedudukan kewangan syarikat kekal sihat.

Kumpulan itu terpaksa memperuntukkan sekitar RM300 juta sebulan untuk mengekalkan operasinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembayaran Prasarana pada Oktober hanya untuk kerja-kerja setakat Jun 2020

Satu laporan berita baru-baru ini mengatakan bahawa 17 kontraktor yang dilantik bagi menyiapkan projek LRT3 telah menghantar surat rayuan kepada pegawai tertinggi di Putrajaya, menggesa mereka untuk campur tangan dan melepaskan lebih RM700 juta untuk kerja-kerja yang dilakukan ke atas projek berkenaan.

Tiga surat bertarikh 30 Disember dan ditandatangani oleh ketua-ketua syarikat itu dialamatkan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai dakwaan itu, Tajuddin berkata, surat oleh subkontraktor MRCBGK itu, perlu dialamatkan kepada MRCBGK dan bukan Prasarana, kerana pembayaran kepada subkontraktor adalah tanggungjawab MRCBGK.

"Kami telah membuat pembayaran kepada MRCBGK untuk kerja-kerja yang telah dilakukan, dan mereka (MRCBGK) sepatutnya perlu membuat pembayaran kepada subkontraktor mereka, bukan kami.

"Bagaimanapun, kami sentiasa memantau. Sebagai pemilik projek, kami mahu melihat projek ini berjaya," katanya.

Setakat ini, kumpulan itu masih mempunyai wang tunai kira-kira RM2 bilion, yang akan digunakan untuk mengekalkan operasi bulanan yang memerlukan sekitar RM300 juta sebulan, katanya lagi.

"Kami telah mendapat kelulusan untuk mengumpulkan bon peringkat baharu pada Januari, tetapi ia tidak semestinya sekarang. Kami juga perlu melihat sentimen pasaran semasa. Perkara ini sedang dikendalikan oleh lembaga pengarah dan jabatan kewangan kami," katanya.

Kumpulan itu juga sedang menunggu suntikan modal daripada kerajaan melalui peruntukan Belanjawan 2021.

"Untuk mengerakkan Prasarana, kosnya menelan belanja kira-kira RM300 juta sebulan, membabitkan perbelanjaan operasi, perbelanjaan modal serta pembayaran faedah bon. Dana RM2 bilion akan habis dengan cepat melainkan kami mendapat suntikan modal daripada pemegang saham kami.

"Setakat ini, lembaga pengarah perlu berhemah tentang bil mana yang perlu kami bayar terlebih dahulu sehingga pembiayaan kami masuk. Itu juga sebab utama mengapa kami tidak dapat mengesahkan bila bayaran boleh dibuat," katanya lagi. - Bernama