X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

DNA bola sepak Malaysia di tangan Kim Swee

Kim Swee mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan sepanjang kariernya.
A
A

DATUK Ong Kim Swee sudah bersiap sedia menghadapi 'gelora bola sepak Malaysia' selepas secara rasmi dilantik Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Peter de Roo.

Menurut Kim Swee, beliau akan memikul tanggungjawab itu sebaik mungkin dalam memacu hala tuju bola sepak Malaysia sebagaimana yang telah digariskan dalam Roadmap FAM atau lebih dikenali sebagai F:30.

"Sudah tentu saya akan meneruskan perancangan dalam F:30 sebelum ini tetapi pada masa sama, saya akan tambah baik program-program pembangunan terutamanya di peringkat belia," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu, FAM menerusi satu kenyataan media memaklumkan pelantikan Kim Swee yang juga bekas pemain dan jurulatih kebangsaan sebagai pengarah teknikal baharu berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Bagi Kim Swee, pelantikannya sebagai Pengarah Teknikal FAM yang baharu bakal memberi dimensi berbeza dalam kariernya selepas hampir 20 tahun bergelumang dalam bidang kejurulatihan.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) atas kepercayaan yang beliau berikan untuk melantik saya sebagai Pengarah Teknikal FAM.

“Bagi saya, ini satu penghormatan dan saya anggap tugas baharu saya ini cukup besar. Berbeza ketika saya menjadi jurulatih, tugas baharu ini lebih mencabar kerana merangkumi semua aspek baik di dalam mahupun di luar padang.

“Apa pun saya mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk memacu bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi. Semua ini mampu dilaksanakan jika semua pihak berganding bahu,” ujarnya.

Kim Swee, 50, diberi tugas untuk menggalas jawatan Pengarah Teknikal FAM itu bagi menggantikan tempat Peter de Roo yang melepaskan jawatannya pada September tahun lalu.

De Roo yang berasal dari Belanda menjadi watak penting dalam membangunkan DNA bola sepak Malaysia yang baharu sejak dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM pada 2017.

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, beliau akan meneruskan usaha serta program pembangunan yang telah direncana de Roo dalam Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM yang lebih terkenal dengan nama F:30.

“Dalam bola sepak, trend akan berubah-berubah mengikut peredaran zaman. Saya akan meneruskan program pembangunan sedia ada dan pada masa sama, saya akan cuba menambah baik apa yang dirancang sebelum ini.

“Buat masa ini, saya akan perhalusi dahulu program-program berkenaan dan melihatnya dari sudut positif. Ini memerlukan sedikit masa kerana kita tidak mahu membuat rombakan besar sehingga menjejaskan program yang sememangnya sudah baik,” jelasnya.

Pada masa sama, Kim Swee meminta para peminat dan penyokong bola sepak tempatan terus memberi sokongan dalam usaha FAM mengangkat maruah skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

“Sebagai Pengarah Teknikal (FAM), saya perlu membuat perancangan yang rapi, bukan sahaja melibatkan pasukan kebangsaan, malah turut membabitkan barisan kejurulatihan.

“Yang penting, proses pembangunan itu menampakkan hasil positif. Kita tidak boleh menilai dengan hanya melihat keputusan semata-mata tetapi banyak lagi perkara yang perlu diambil kira,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!