Kes kartel daging: Jualan penternak melonjak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembongkaran isu daging sejuk beku import dengan status halal meragukan pada awal Disember lepas telah membuka laluan penternak tempatan meningkatkan hasil jualan bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap produk daging ketika ini.

Antara syarikat yang menerima tempias positif akibat pembongkaran itu ialah Osman Goat Farm di Kangkar Tebrau di sini yang telah bertapak di pasaran sejak 31 tahun lepas.

Pengarah Urusannya, Osman Cheya Kutty berkata, sejak pendedahan isu itu, jualan daging kambing syarikatnya melonjak daripada hanya tiga ekor sehari kepada sembilan ekor sehari yang dipercayai didorong oleh kesedaran masyarakat yang mahukan daging diyakini halal.

“Walaupun harga daging kambing tempatan segar dijual lebih mahal iaitu sekitar RM60 sekilogram berbanding RM25 bagi daging import sejuk beku, namun kebanyakan masyarakat sanggup membelinya, ” katanya kepada pemberita ketika ditemui di premis perniagaan itu di sini, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel daging calar imej Malaysia hub halal dunia

Sindiket kartel palsu jenama daging hanya libatkan satu syarikat

Syarikat ternama mungkin terlibat kes kartel daging: SPRM

Osman berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memenuhi peningkatan permintaan daging kambing berikutan syarikatnya memiliki kira-kira 3,000 ekor kambing pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

“Ladang ternakan kami di Seelong, Kulai dan di sini (Kangkar Tebrau) mempunyai dua baka kambing tempatan iaitu jenis Jamna Pari dan Boer serta empat baka kambing biri-biri yang diimport dari Australia iaitu Damara, Merino, Vanroy dan Awassi.

“Buat masa ini, bekalan mencukupi untuk memenuhi peningkatan permintaan dari seluruh Johor,” katanya sambil memaklumkan pembeli turut boleh melihat sendiri proses penyembelihan yang dilakukan oleh empat penyembelih bertauliah ketika berkunjung untuk membeli produk di premis mereka.

Pada 1 Disember lepas, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mendedahkan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk membolehkannya dijual di pasaran tempatan.

Sementara itu, Osman berkata, kejadian banjir yang melanda bandar raya ini telah mengakibatkan syarikatnya mengalami kerugian kira-kira RM60,000 melibatkan kerosakan stok daging, produk susu dan makanan kambing yang disimpan di pusat jualan di Kangkar Tebrau di sini, selain daripada perkakasan elektrik dan perabot yang terdapat di pejabat serta surau.

Menurutnya, premis berkenaan dinaiki air dengan ketinggian 1.2 meter ketika pihaknya sedang menyediakan bekalan makanan kepada 600 mangsa banjir di sekitar kawasan Kangkar Tebrau pada 11 pagi, 2 Januari lalu. - Bernama