X

Kindly register in order to view this article
!

Taktik halus suburkan komunisme

A
A

Dalam satu peristiwa pada tahun 1969, sesi pembelajaran murid-murid di sebuah sekolah rendah di Jalan Pasir Puteh, Ipoh, Perak terganggu apabila kawasan itu didatangi anggota polis berikutan penemuan bendera Parti Komunis Malaya (PKM) yang diletakkan pada tiang buluh di sebatang pokok.

Walaupun tiada tangkapan dibuat tetapi tindakan mengibarkan bendera komunis bukan sahaja satu kesalahan, malah merupakan cubaan jahat untuk menggugat keamanan masyarakat.

Tindakan serupa juga berlaku di banyak kawasan pada masa itu yang dilakukan kumpulan gerakan bawah tanah PKM untuk menunjukkan kehadiran mereka dengan meletakkan bendera atau meninggalkan nota berunsurkan komunis.

Kebangkitan semula pemberontakan bersenjata PKM pada tahun 1968 setelah gagal semasa Darurat 1948-1960 sebenarnya telah dirancang dengan rapi menerusi penyusupan unit-unit tempur di sempadan Malaysia-Thailand serta gerakan massa.

Semasa era Insurgensi, gerakan-gerakan subversif berjaya ditangani oleh pasukan keselamatan, khususnya Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia dan perisikan tentera. Seringkali gerakan subversif berselindung di sebalik persatuan, kelab, pertubuhan pelajar, kesatuan sekerja, perniagaan dan agama.

Ia merupakan satu ancaman yang membawa kepada kekejaman dan kucar-kacir sekiranya tidak dicantas. Justeru, jelas perkembangan subversif komunis di Malaysia ditolak seluruh masyarakat.

Pemilikan dokumen subversif pula merupakan antara kesalahan berat dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang bertujuan untuk membendung penyuburan ideologi tidak di-ingini.

Seperti Malaysia, Indonesia juga mengharamkan gerakan Parti Komunis Indonesia (PKI) apabila digempur habis-habisan pada tahun 1965 selepas peristiwa Gerakan 30 September yang cuba menggulingkan kerajaan.

Sehingga kini, Indonesia masih meletakkan kesalahan berat kepada mana-mana rakyatnya jika didapati terbabit unsur komunis, apatah lagi jika mempunyai unsur cenderung kepada ideologi PKI dalam apa acara sekali pun.

Polisi pemerintahnya sangat jelas iaitu mengingatkan semua lapisan masyarakat untuk memegang teguh Pancasila dan menjaga serta tidak memberi ruang kepada ideologi selain itu.

Setiap kegiatan menyebarkan atau mengembangkan fahaman atau ajaran komunisme, marxisme-leninisme dalam segala bentuk dan manifestasinya adalah dilarang.

Sebab itu, matlamat tidak menghalalkan cara apabila dua buah premis makanan di Pulau Pinang dikesan menjadikan Revolusi Kebudayaan China atau Cultural Revolution sebagai konsep kedai dan hiasan pada dinding premis.

Apa pun alasannya, ia dilihat umpama taktik jarum halus untuk menyuburkan kembali dakyah yang diharamkan itu kepada masyarakat,

Revolusi Kebudayaan di Tanah Besar China antara tahun 1966 dan 1976 merupakan salah satu momentum penting pada masa kejayaan pemimpin agung Parti Komunis China, Mao Tse-tung.

Revolusi yang dikategorikan sebagai salah satu yang terbesar di dunia itu ditandai dengan dibentuknya Pasukan Merah iaitu kumpulan mahasiswa pendukung Mao berserta ajarannya.

Sepertimana semasa hayatnya, Mao sangat diagung-agungkan termasuklah di luar negara, lantas menunjukkan ideologi komunis Mao menerusi buku merahnya masih subur dan menjadi pegangan pada pemujanya.

Keagungan Mao samalah juga seperti lain-lain pemimpin ideologi komunis dunia seperti Lenin dan Stalin semasa era Soviet dan Josif Tito di Yugoslavia.

Walaupun Malaysia memeterai hubungan diplomatik dengan China sejak tahun 1974, namun ia tidak membawa maksud negara menyokong ideologi komunis China, apatah lagi perjuangan Parti Komunis Malaya.

Nilai perdagangan dua hala Malaysia-China bernilai RM437.65 bilion pada 2018 tidak boleh menghalalkan ideologi dan unsur-unsur komunisme yang ditentang negara sejak 72 tahun lalu supaya diterima.

Setiap kegiatan menyebarkan atau mengembangkan fahaman atau ajaran komunisme, marxisme-leninisme dalam segala bentuk dan manifestasinya adalah dilarang.”

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!