Mangsa banjir di Perak terus meningkat

Saarani (berdiri, kanan) bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir ketika meninjau PPS Slim Permai, Tanjung Malim pada petang Isnin. - Foto ihsan Pejabat MB Perak
Saarani (berdiri, kanan) bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir ketika meninjau PPS Slim Permai, Tanjung Malim pada petang Isnin. - Foto ihsan Pejabat MB Perak
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 1,010 orang melibatkan 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah pada Isnin.

Sehingga jam 4 petang daerah Muallim mencatat mangsa tertinggi seramai 458 mangsa diikuti Kampar (87), Hilir Perak (442) dan Sungai Siput (50).

Jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan, daerah Hilir Perak mempunyai PPS paling banyak iaitu lima buah masing-masing di Dewan Tanjung Keramat, Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, Dewan Serbaguna Chikus, Dewam MPTI Teluk Intan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langkap.

Menurutnya, bagi daerah Muallim pula, tiga PPS dibuka iaitu di Sekolah Agama Slim Village, SK Balun dan SK Kuala Slim menepatkan 109 keluarga selepas tiga kampung di dalam daerah itu dinaiki air.

"Sebanyak tiga PPS pula dibuka di daerah Kampar melibatkan Dewan Serbaguna Batu 20, Dewan Dato Azman Mahalan dan Dewan Bandaran Gopeng yang menempatkan penduduk Kampung Batu 20, Kampung Jeram dan Kampung Singh.

"Semua mangsa banjir di RPT Tok Sirat, Sungai Siput pula ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat di dalam daerah kecil Sungai Siput," katanya dalam maklumat yang dikongsikan kepada media pada Isnin.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang meninjau PPS Slim Permai, Tanjung Malim pada Isnin berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan langkah-langkah mitigasi untuk jangkamasa pendek dan panjang dalam mengatasi masalah banjir tersebut.

Katanya, selama ini pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudahpun melaksanakan beberapa langkah jangka panjang untuk mengelak kejadian banjir itu berlaku namun disebabkan air sungai terlalu deras mengakibatkan ban pecah.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang dibuat oleh JPS sebelum ini merupakan langkah jangka panjang seperti kawasan ini tak pernah banjir sejak tahun 1971. Cuma kejadian yang berlaku seperti ini di luar jangkaan kita.

"Maka kita kena buat langkah-langkah mitigasi untuk jangka masa pendek dan panjang bagi memastikan kejadian tidak berulang," katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan mangsa-mangsa banjir mematuhi dengan ketat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Malah, bukan sahaja mangsa banjir, orang luar yang datang menziarahi mangsa di PPS perlu mengikut SOP ditetapkan supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk termasuklah petugas-petugas.

Pada pagi Isnin, seramai 615 orang mangsa banjir di Perak ditempatkan di 11 PPS di tiga daerah iaitu Muallim, Hilir Perak dan Kampar.