Maritim Malaysia rampas 3.05 juta batang rokok seludup

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 3.05 juta batang rokok putih dipercayai diseludup dari Indonesia bernilai kira-kira RM800,000 di kedudukan 0.6 batu nautika Timur Laut Pulau Perjudi, Negeri Sembilan pada 12.35 tengah malam Isnin.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, lapan lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tujuh warga Indonesia berusia antara 25 hingga 68 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan.

"Hasil aduan awam dan perkongsian maklumat risikan bersepadu di bawah Op Benteng, bot ronda Maritim Malaysia dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (Ops Merpati) berjaya menumpaskan penyeludupan rokok putih pelbagai jenis yang dipercayai untuk dipasarkan di Melaka dan Negeri Sembilan.

"Sebuah bot pancung tanpa nombor menggunakan empat enjin 200HP yang menempatkan kotak-kotak rokok putih itu serta tiga kenderaan pacuan empat roda telah dirampas dan dibawa ke ibu pejabat APMM untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melibatkan warga asing. - Bernama

Artikel Berkaitan: