Kevin Sanjaya positif Covid-19

Kevin Sanjaya
Kevin Sanjaya
A
A
A

JAKARTA - Pasangan beregu lelaki nombor satu dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Fernaldi Gideon membatalkan penyertaan mereka ke kejohanan badminton di Thailand selepas Kevin Sanjaya disahkan positif Covid-19.

Menurut kenyataan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Kevin Sanjaya, 25, menjalani ujian swab pada 31 Disember lepas dan disahkan positif.

Pasangan itu membatalkan penyertaan mereka di Thailand iaitu Kejohanan Yonex Terbuka Thailand yang dijadualkan pada 12 hingga 17 Januari, Kejohanan Toyota Terbuka Thailand (19 hingga 24 Januari) dan Jelajah Dunia Akhir BWF 2020 (27 hingga 31 Januari 2021).

Sementara itu, menurut data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia pada Isnin, jangkitan Covid-19 di negara itu kini meningkat kepada 772,103 kes, dengan tambahan 6,753 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Bagi tempoh 12 tengah hari pada Ahad sehingga 12 tengah Isnin, 177 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan di republik itu kini 22,911 orang.

-Bernama

Artikel Berkaitan: