Peguam Haniff Khatri didenda RM30,000 hina mahkamah

 Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla didenda RM30,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Persekutuan kerana menghina mahkamah selepas tidak menghormati Mahkamah Persekutuan dalam kes pertikaian harta. - Foto fail Bernama
Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla didenda RM30,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Persekutuan kerana menghina mahkamah selepas tidak menghormati Mahkamah Persekutuan dalam kes pertikaian harta. - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla didenda RM30,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Persekutuan kerana menghina mahkamah selepas tidak menghormati Mahkamah Persekutuan dalam kes pertikaian harta.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Abdul Rahman Sebli juga turut mengenakan denda masing-masing RM50,000 atau penjara sebulan terhadap tiga individu yang merupakan rakan kongsi firma pemberi pinjaman wang berlesen atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, Hakim Abdul Rahman membenarkan permohonan Mohamed Haniff Khatri dan ketiga-tiga pihak untuk menyelesaikan denda itu menjelang Jumaat (8 Januari).

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim juga memerintahkan ketiga-tiga individu itu membayar kos RM50,000 manakala Mohamed Haniff Khatri membayar kos RM10,000.

Dalam menjatuhkan hukuman terhadap keempat-keempat individu itu, Hakim Abdul Rahman berkata, perbuatan menghina mahkamah tidak boleh dipandang ringan.

Hakim Abdul Rahman berkata, mahkamah mengenakan denda RM50,000 ke atas Ding Toh Biew, Ding Toh Gien dan Ding Toh Lei kerana mereka tidak menyatakan sesal atau menunjukkan kekesalan kepada mahkamah selepas didapati bersalah kerana menghina mahkamah.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka tetap menyatakan tindakan mereka atas nasihat Mohamed Haniff Khatri, yang merupakan bekas peguam mereka.

Beliau berkata, Mohamed Haniff Khatri telah memohon maaf kepada mahkamah secara tegas dan tanpa syarat, sambil menambah bahawa ia adalah jelas bahawa beliau benar-benar menyesal.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Hakim Abdul Rahman berkata, mahkamah juga mengambil kira bahawa Mohamed Haniff Khatri hanya memutuskan untuk memohon maaf kepada mahkamah selepas didapati bersalah.

Beliau berkata, penghinaan yang dilakukan oleh Mohamed Haniff Khatri, yang merupakan pegawai mahkamah dan sebagai ahli kanan Majlis Peguam adalah bertentangan dengan mahkamah apex.

Terdahulu, Hakim Hasnah yang menyampaikan keputusan mahkamah berhubung penghinaan itu berkata, mahkamah berpuas hati melampaui keraguan munasabah bahawa ketiga-tiga rakan kongsi Golden Star dan Mohamed Haniff Khatri bersalah menghina mahkamah.

“Oleh itu kami berpendapat tingkah laku responden dan Mohamed Haniff Khatri sedemikian adalah tegar dan tidak menghormati,” katanya.

Mahkamah Tinggi pada 2012 membenarkan saman yang difailkan Lim Peek Hoe dan anaknya, Ling Boon Huat dan memutuskan perjanjian jual beli hartanah di Ipoh, Perak dan perjanjian penyewaan dan pemindahan hartanah tersebut adalah batal dan tidak sah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu, yang memihak kepada Golden Star dan ketiga-tiga individu berkenaan.

Mahkamah Persekutuan pada 20 Jun 2017, membenarkan rayuan Peek Hoe dan Boon Huat dan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Golden Star dan ketiga-tiga rakan kongsi itu mengembalikan hartanah tersebut dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun, mereka memfailkan semakan pertama melalui peguam mereka sebelum ini yang kemudiannya ditarik balik dan telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mohamed Haniff Khatri kemudian dilantik untuk mewakili trio itu dan beliau memfailkan semakan kedua dan seterusnya semakan ketiga terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan. Kedua-dua permohonan semakan telah ditolak oleh mahkamah pada Mei 2019.

Mahkamah Persekutuan pada hari yang sama juga memberi kebenaran kepada Peek Hoe dan Boon Huat untuk memulakan prosiding komital terhadap trio itu dan Mohamed Haniff Khatri.

Peguam Edmund Lim mewakili Peek Hoe dan Boon Huat manakala peguam L K Chieng mewakili ketiga-tiga rakan kongsi itu sementara peguam Datuk M Reza Hassan mewakili Mohamed Haniff Khatri. -Bernama