Undang-undang anti lompat parti perlu dilaksana

Webinar bertajuk 'How To Deter Party Hopping in Malaysia' yang bersiaran secara langsung di Facebook Bersih 2.0 pada Isnin.
Webinar bertajuk 'How To Deter Party Hopping in Malaysia' yang bersiaran secara langsung di Facebook Bersih 2.0 pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu menggubal undang-undang berkaitan anti lompat parti bagi mengatasi masalah lompat parti dalam kalangan wakil rakyat di negara ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, perbuatan lompat parti tidak boleh dipandang remeh dan dibiarkan berterusan kerana memberi kesan buruk terhadap negara.

“Kita semua adalah mangsa ahli Parlimen yang lompat parti sekarang ini. DAP telah hadap perkara ini lama dan kita perlukan pembaharuan.

“Jadi, apa yang saya sokong sekarang ini ialah undang-undang berkaitan dengan anti lompat parti perlu dilaksanakan secepat mungkin di negara kita.

“Dalam masa sama, saya juga mencadangkan agar kita membenarkan ahli Parlimen yang telah meletakkan jawatan ataupun dipecat untuk kembali bertanding tanpa mengira parti apa pun,” katanya selaku panelis webinar bertajuk 'How To Deter Party Hopping in Malaysia' yang bersiaran secara langsung di Facebook Bersih 2.0 pada Isnin.

Webinar berkenaan turut menampilkan saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat yang membentangkan isu penggubalan undang-undang anti lompat parti, manakala Bendahari Bersih 2.0, Ngeow Chow Ying pula bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, seorang lagi panelis iaitu Setiausaha Agung Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Nelson W Angang bersetuju dan berpendapat penubuhan undang-undang anti lompat parti adalah perlu bagi mengekalkan kesejahteraan di negara.

“Sedih sebenarnya keadaan politik di Malaysia ini sebab kebanyakan ahli Parlimen begitu mudah untuk tukar parti.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya bahawa pengundi semua memerlukan sebab dan alasan kenapa perkara sebegini boleh dilakukan oleh ahli Parlimen.

“Oleh itu, saya mencadangkan agar penggubalan undang undang anti lompat parti diwujudkan bagi mengelakkan perkara ini berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, mereka yang meletakkan jawatan tidak perlu dikenakan tindakan yang tegas atau dihalang melompat dari parti lain.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula berpandangan, untuk mengekang masalah berkenaan, pilihan raya perlu diadakan semula bagi memuaskan hati semua pihak terutama rakyat.

Menurutnya, pilihan raya semula adalah perkara yang perlu dipandang serius di negara ini disebabkan oleh kegiatan lompat parti.

“Perkara yang saya suka berkaitan 'recall election' ialah apa yang diberi, itulah yang dapat dan dapat memberi mandat kepada rakyat untuk memilih semula.

“Saya percaya ahli politik tidak akan suka dengan 'recall election'. Saya rasa kita perlu cakap kepada rakyat bahawa 'recall election' adalah untuk mereka dan bukannya kepada menteri.

“Saya amat berharap agar idea ini dapat dipertimbangkan dan dapat dibincangkan secara menyeluruh untuk keadilan semua pihak terutama pilihan dan kepercayaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga dapat memperkasakan Parlimen, tanggungjawab ahli Parlimen dan rakyat Malaysia.