Lelaki ditahan kes pukul pekerja stesen minyak

Rakaman CCTV memaparkan suspek memukul mangsa tular di laman sosial Facebook.
Rakaman CCTV memaparkan suspek memukul mangsa tular di laman sosial Facebook.
A
A
A

JELEBU - Polis menahan seorang lelaki berhubung kes pukul pekerja di sebuah stesen minyak di Kuala Klawang di sini, bulan lalu.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek memukul mangsa berusia 20 tahun tular di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, suspek yang berusia 39 tahun dan beralamat dari Kampung Petasih Hulu di sini ditahan pada jam 4.30 petang Isnin.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Jelebu pada Selasa untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Maslan berkata, kejadian pada 19 Disember itu berlaku pada jam 4.30 petang apabila suspek secara tiba-tiba berang kerana mangsa memintanya menunggu ketika mahu mengisi minyak.

"Disebabkan juruwang tiada di kaunter, mangsa meminta suspek untuk menunggu kerana mangsa perlu mengaktifkan pam sebelum mengisi minyak.

"Namun suspek tidak terima, pada masa sama memarahi mangsa kerana meletakkan pam minyak pada motosikalnya," katanya.

Menurutnya, suspek bertambah marah apabila berlaku sedikit tumpahan minyak ketika mangsa sedang mengisi minyak lalu bertindak membaling wang kepada mangsa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagaimanapun mangsa tidak melawan dan mengambil wang itu, namun semasa mahu berehat suspek tiba-tiba menghampirinya dan terus memukul mangsa dengan topi keledar.

"Suspek juga memarahi dan memaki hamun mangsa selain menampar pada bahagian muka. Bagaimanapun mangsa tidak melawan kerana berasa pening selepas dipukul.

"Terdapat kesan bengkak pada dagu sebelah kiri mangsa dan dia telah membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati, suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau iaitu narkotik dan jenayah.