1,741 kes baharu Covid-19 hari ini, tujuh kematian direkodkan

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia merekodkan 1,741 kes harian baharu hari ini sekali gus menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini 120,818 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu juga menjadikan jumlah kes aktif kini adalah 22,089 kes.

Beliau berkata, Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi 687 kes (39.5 peratus), diikuti Sabah sebanyak 303 kes (17.4 peratus) dan Johor sebanyak 295 kes (16.9 peratus).

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,733 kes.

“Sebanyak 541 kes pula (78.7 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan, manakala 32 kes (1.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depoh tahanan imigresen, dan penjara,” katanya pada sidang akhbar berhubung perkembangan Covid-19 pada Isnin.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sejumlah tujuh kematian direkodkan hari ini membabitkan rakyat tempatan berumur lingkungan 45 hingga 83 tahun yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita.

Katanya, ketika ini terdapat 122 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 53 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,010 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 ialah sebanyak 98,228 kes. -Bernama

Artikel Berkaitan: