MyIPO tawar pengecualian fi cap dagangan, paten

Perbadanan Harta Intelek Malaysia
Perbadanan Harta Intelek Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan pengecualian fi bagi beberapa permohonan di bawah cap dagangan dan paten bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, pengecualian untuk tempoh enam bulan itu diberikan kepada individu dan syarikat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, pengecualian fi itu turut ditawarkan bagi pembayaran surcaj bagi paten dan perakuan utiliti selain pengubahan fi kelewatan pembaharuan cap dagangan.

“Inisiatif ini kepada individu kumpulan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Nasional atau pendapatan terjejas.

“Bagi syarikat perkongsian, persatuan, pertubuhan perbadanan atau institusi yang memperoleh kelulusan penyambungan moratorium dan fleksibiliti pembayaran balik daripada mana-mana institusi kewangan.

“Mempunyai masalah aliran tunai atau menghadapi keberhutangan dan kesulitan membuat pembayaran hutang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengecualian fi bagi cap dagangan diberikan untuk pindaan dan pembetulan nama atau alamat pemohon berbanding kos sebenar RM20 setiap permohonan.

Selain itu, katanya, pengecualian fi RM100 setiap bulan tidak termasuk fi memproses untuk permohonan pelanjutan masa dan prosiding lain selain bangkangan.

Artikel Berkaitan:

“Pemfailan dokumen secara manual (tidak tertakluk kepada golongan bersasar), kos sebenar RM2 bagi setiap muka surat,” katanya.

Tambah beliau lagi, pengubahsuaian fi bagi pembaharuan lewat cap dagangan dikurangkan daripada RM1,200 kepada RM1,000.

Bagi paten pula, katanya, setiap pemilik paten dan perakuan bagi perbaharuan utiliti yang tamat di antara 1 Januari hingga 30 Jun 2021 akan diberikan tempoh enam bulan untuk pembayaran pembaharuan tanpa surcaj kelewatan.