Empangan Kenyir bukan punca banjir

Che Adam menunjukkan paras air di Empangan Kenyir ketika melakukan pemantauan di Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud, di Hulu Terengganu pada Isnin.
Che Adam menunjukkan paras air di Empangan Kenyir ketika melakukan pemantauan di Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud, di Hulu Terengganu pada Isnin.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Sekretariat Pengurusan Banjir Terengganu menafikan dakwaan tular mengatakan kejadian banjir di negeri ini termasuk sebahagian kawasan di Kelantan berpunca daripada pelepasan air di Empangan Kenyir.

Ketuanya, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, setakat ini paras air di empangan itu masih normal dengan bacaan semasa 142.63 meter.

Limpahan air Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi bermula malam Ahad disebabkan berlaku sedikit peningkatan paras air di Tasik Kenyir ekoran hujan lebat sejak Ahad.
Limpahan air Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi bermula malam Ahad disebabkan berlaku sedikit peningkatan paras air di Tasik Kenyir ekoran hujan lebat sejak Ahad.

Beliau berkata, orang ramai terutama penduduk setempat tidak perlu khuatir kerana paras air di Tasik Kenyir terutama di Empangan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud masih normal dan terkawal.

"Banjir yang berlaku kali ini termasuk di Kelantan tiada kaitan dengan Empangan Kenyir kerana struktur sempadan muka bumi di Terengganu dan Kelantan berbukit tinggi melebih 1,000 kilometer.

"Jadi, kebarangkalian untuk air keluar ke sebelah sana (Kelantan) tidak tepat kerana jika berlaku pengeluaran air sekalipun ia akan turun ke kawasan di Terengganu," katanya.

Beliau berkata, paras terkini empangan berkenaan masih normal malah masih jauh untuk mencecah paras alur limpah.

"Kita akan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan empangan hidroelektrik iaitu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memaklumkan sebarang perkembangan terkini," katanya ketika melakukan pemantauan di Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud, di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, paras air di empangan itu pernah mencapai paras limpahan pada 2017.

"Ketika itu, kita telah memberi maklumat lebih awal kepada penduduk setempat supaya boleh membuat persediaan lebih awal.

"Air tidak dilepaskan secara melulu kerana ia akan dikeluarkan secara semula jadi melalui alur limpah empangan berkenaan," katanya.