Sah berlaku pencerobohan tanah di Perak!

Keadaan kerja guna tanah di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran Jalan Ipoh-Lumut.
Keadaan kerja guna tanah di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran Jalan Ipoh-Lumut.
A
A
A

IPOH - Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) mengesahkan kerja-kerja tanah di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran Jalan Ipoh-Lumut seperti dilaporkan, hari ini adalah satu aktiviti penerokaan haram.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Zainal Abidin berkata, berdasarkan tinjauan dilakukan mendapati, pencerobohan di kawasan hampir 10 hektar itu, sebahagian besarnya dilakukan atas tanah milik MB Inc bagi tujuan perladangan kelapa sawit.

"Peneroka menanam anak pokok kelapa sawit di lereng-lereng bukit yang telah diteroka secara haram.

"Selain tanah MB Inc, kawasan yang turut terjejas adalah tanah milik kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tinjauan yang dilakukan, hari ini turut disertai Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop, pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Manjoi dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Menurutnya, susulan siasatan itu, PTG telah mengarahkan semua kerja tanah di tapak penerokaan dihentikan serta-merta.

Keadaan kerja guna tanah di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran Jalan Ipoh-Lumut.
Keadaan kerja guna tanah di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran Jalan Ipoh-Lumut.

"Satu siasatan telah dimulakan agar tindakan tegas ke atas pihak tidak bertanggungjawab dapat dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"PTG juga telah mengarahkan pihak-pihak terlibat membaik pulih kawasan yang terdedah, namun kawasan terjejas tidak terletak dalam Hutan Simpan Kledang Saiong," katanya.

Beliau berkata, keadaan yang berlaku itu menunjukkan seolah ada pihak mahu mencabar pihak berkuasa apatah lagi ia berlaku dalam tempoh 10 hari selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri bagi mengambil tindakan ke atas aktiviti pencerobohan tanah milik kerajaan dan syarikat-syarikat berkanun negeri (GLC).

Katanya, MB Inc telah merancang membangunkan projek hartanah bercampur di kawasan itu bertujuan menawarkan

penempatan untuk rakyat.

"Kali terakhir MB Inc meninjau kawasan Bukit Kledang ialah pada 19 Januari lalu, namun ketika itu tiada sebarang aktiviti penerokaan haram berlaku," katanya.

Dalam laporan hari ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa tindakan penguatkuasaan diambil selepas mendapati kerja-kerja tanah di lereng bukit Banjaran Kledang itu boleh mengakibatkan hakisan dan pemendapan terutama ketika hujan lebat.

Tinjauan SAM juga mendapati, tidak ada sebarang papan tanda kelulusan projek atau kelulusan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).