Kes samun: 4 ditahan termasuk wanita

Antara barangan yang dirampas.
Antara barangan yang dirampas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun dan menyamar sebagai penjawat awam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, polis menerima satu laporan mengenai satu kejadian samun ke atas seorang lelaki Indonesia sekitar jam 11.25 malam, Selasa lalu.

Menurutnya, suspek dipercayai tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis.

"Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan telah melakukan operasi dan dalam tempoh kurang daripada 24 jam, berjaya menangkap tiga lelaki dan seorang wanita di Jalan Mariamah, di sini, dan Jalan Undan 9, dekat Taman Perling, di sini," katanya di sini hari ini.

Shahurinain berkata, pihaknya turut merampas barang kes termasuklah hasil samun antaranya topi berserta lambang PDRM dan Penjara Malaysia, kad pas berlogo Penjara Malaysia dan telefon bimbit pelbagai jenis.

"Selain itu salinan pasport, resit jual beli telefon bimbit, baju T, pelbagai jenis beg, kunci kereta dan motosikal, anak kunci hotel serta penutup mulut," katanya.

Beliau berkata, soal siasat awal dijalankan mendapati tangkapan mengaku telah menjalankan kegiatan samun serta menyamar sebagai penjawat awam di dalam daerah Johor Bahru Selatan sebanyak 12 kes.

Katanya, modus operandi kumpulan itu menyasarkan warga asing dan perempuan sebagai mangsa selain telah bergiat aktif sejak tahun 2016 hingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tangkapan positif dadah jenis methamphetamine. Tangkapan direman sehingga 10 Februari ini, bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan. Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam," katanya.