Tak serik, bekas banduan dijel kali keenam

Seorang bekas banduan sekali lagi dipenjara lima tahun atas pertuduhan memiliki dua bilah parang di tempat awam. Gambar hiasan
Seorang bekas banduan sekali lagi dipenjara lima tahun atas pertuduhan memiliki dua bilah parang di tempat awam. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibarat tidak serik dipenjara sebanyak lima kali, seorang bekas banduan sekali lagi dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki dua bilah parang di tempat awam.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Foo Tuck Oon, 53, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 31 Disember 2020.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Emelia Kaswati bertanya kepada tertuduh yang tidak bekerja itu, berapa kali dia dipenjarakan dan atas kesalahan apa, tertuduh berkata, dia sudah lima kali dipenjarakan sebab terlibat dalam pergaduhan.

Lelaki itu didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah parang panjang dan sebilah parang pendek tanpa kebenaran yang sah di Jalan Seri Sentosa, Off Jalan Klang Lama, Brickfields, di sini, pada 10.20 pagi, 31 Disember 2020 mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebatan.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengenakan hukuman sebat terhadap tertuduh kerana usianya melebihi 50 tahun.

Berdasarkan fakta kes, seorang anggota polis yang sedang melakukan rondaan bermotosikal di kawasan tersebut telah melihat seorang lelaki (tertuduh) dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan di bahu jalan sambil membawa sebilah parang panjang dan hasil pemeriksaan tertuduh juga memiliki sebilah lagi parang pendek yang diselit di bahagian pinggangnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh mengambil kira kepentingan awam selain kesalahan yang dilakukan adalah serius, bagaimanapun, Foo yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara singkat.

- Bernama

Artikel Berkaitan: