Henti tular gambar banjir tidak sahih

Saifuddin ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Beserah di sini pada Isnin.
Saifuddin ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Beserah di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah menasihatkan orang ramai tidak menularkan berita banjir dan gambar lama di platform media sosial termasuk WhatsApp bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, berita tidak sahih itu akan menimbulkan kegusaran kepada orang ramai khususnya di kawasan yang dilanda banjir.

"Seharusnya mereka menghubungi terlebih dahulu pihak berkaitan bagi mengesahkan perkara tersebut sebelum menyebarkan kepada orang ramai.

"Saya juga nak nasihatkan kepada rakyat untuk menyelidik maklumat banjir di setiap daerah menerusi bilik Gerakan Daerah dan Pejabat Daerah masing-masing," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan Beserah di sini, pada Isnin.

Terdahulu beliau turut melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Galing, Kuantan.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota juga mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan sumbangan boleh terus ke pusat pengumpulan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap daerah.

"Berhubung dengan aktiviti bantuan sukarelawan banjir saya sangat mengalu-alukan tindakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang ingin menghulurkan bantuan tetapi perlu melalui pejabat daerah kerana kita masih dalam Pandemik Covid 19 dan kita kena jaga SOP," katanya.

Setakat jam 1 tengahari Isnin, Pahang merekodkan 10, 739 penduduk terjejas banjir daripada 3,319 keluarga yang ditempatkan di 202 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah termasuk Kuantan. - Bernama

Artikel Berkaitan: