Batu megalit kedua tertinggi ditemui di Rembau

Nazri Kamal berdiri bersebelahan batu megalit yang ditemui di Kampung Mampong, Rembau didakwa kedua tertinggi di Negeri Sembilan.
Nazri Kamal berdiri bersebelahan batu megalit yang ditemui di Kampung Mampong, Rembau didakwa kedua tertinggi di Negeri Sembilan.
A
A
A

REMBAU - Penemuan batu megalit atau batu hidup di daerah Rembau bukan lagi perkara baharu.

Bagaimanapun, batu megalit setinggi 2.77 meter yang ditemui di Kampung Mampong di sini didakwa merupakan batu megalit kedua tertinggi di Negeri Sembilan selepas Batu Megalit Datuk Nisan Tinggi di Kampung Repah, Tampin yang mempunyai ketinggian 3.35 meter.

Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan, Datuk Nazri Kamal Al-Bentan berkata, batu itu terletak di tepi jalan tanah kebun yang turut menempatkan empat kubur lama dianggarkan berusia ratusan tahun.

“Yang lain-lain mempunyai saiz batu nisan biasa. Tapi yang satu ini ketinggiannya luar biasa. Bila saya ukur, ia mempunyai ketinggian 9.11 kaki atau 2.77 meter yang saya percaya merupakan kedua tertinggi di Negeri Sembilan selepas Batu Megalit Datuk Nisan Tinggi di Tampin.

“Sebenarnya ia bukan perkara pelik kerana batu megalit ini boleh membesar. Sebab itu orang turut menggelarkannya sebagai batu hidup,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, terdapat tiga titik penemuan batu berkenaan di kawasan Rembau iaitu di Kampung Bongek, Kampung Nerasau dan Kampung Simen selain di Kampung Mampong.

Jelasnya, batu yang mempunyai nilai sejarah itu dan tiada di negeri lain turut ditemui di Kuala Pilah dan sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.

“Kalau orang Negeri Sembilan, mereka sudah biasa dengar batu megalit ini tapi orang luar rasanya ramai lagi tak tahu. Mungkin bila mereka nampak batu megalit ini, mereka ingatkan itu batu biasa.

Artikel Berkaitan:

“Berkenaan batu megalit yang saya rasa ia kedua tertinggi di Negeri Sembilan ini, saya sudah maklumkan pada Lembaga Muzium Negeri Sembilan supaya ia dapat dipulihara untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Tambah Nazri Kamal, kawasan batu megalit itu juga boleh dijadikan sebagai lokasi pelancongan di Rembau.

Megalit atau megalitik berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘mega’ bermaksud besar dan ‘lithos’ pula bermaksud batu.

.

.