'Kalau nak pecat saya silakan...'

ANNUAR
ANNUAR
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Annuar Musa sanggup dipecat asalkan dapat mempertahankan 'muafakat' parti Melayu dan Islam dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional turut menegaskan akan mempertahankan keputusan MKT menolak DAP dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau nak pecat kerana itu silakan. Nak pertahan mereka yang nak bawa parti sokong DAP dan Anwar, silakan,” katanya di laman Facebooknya pada Ahad.

Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh mengusulkan supaya Setiausaha Agung BN itu dipecat daripada parti itu.

Usul berkenaan dicadangkan oleh Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali semasa mesyuarat perwakilan pergerakan berkenaan pada Sabtu.

Menurutnya, parti perlu mengambil tindakan tegas dengan memecat keahlian Annuar selepas beliau dilihat menjadi tali barut dan jurucakap kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pada itu, Annuar berkata, sepanjang 40 tahun beliau aktif dalam UMNO, mesyuarat perwakilan bahagian selalunya akan membincangkan mengenai orang Melayu, Islam, dan soal rakyat.

Bagaimanapun katanya, tahun ini perkara itu tidak berlaku sebaliknya hanya kedengaran seruan penolakan dan perpecahan sesama Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Serang menyerang sesama sendiri, DAP sudah boleh senyum,” katanya.

Sementara itu, Annuar juga mendakwa satu demi satu UMNO bahagian di Kelantan, yang dahulunya menjadi kubu parti itu, bertukar menjadi 'kubu parti lawan'.

“Semoga di peringkat nasional tidak begitu,” katanya tanpa mengulas lanjut.