Armada Kelantan mahu Asyraf Wajdi kemuka bukti

Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz
Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz
A
A
A

KOTA BHARU – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan menepis dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan Bersatu 'mencuri' dan 'membeli' ahli UMNO.

Ketuanya, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz berkata, tuduhan tersebut tidak benar dan pihaknya mahu mereka yang berkenaan mengemukakan bukti jika benar ada mana-mana ahli UMNO yang dipaksa, didesak atau dibayar untuk menyertai Bersatu.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu tidak sepatutnya dikeluarkan seorang pemimpin yang berpengalaman dalam arena politik serta ketua kepada sayap sebuah parti yang pernah menjadi tunjang kepada pentadbiran sesebuah negara.

“Kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak arif tentang apa itu 'semangat' demokrasi terpimpin dan hak setiap warganegara dalam memilih wadah politik masing-masing.

“Adakah beliau sedar bahawa setiap apa yang berlaku iaitu penghijrahan ahli dari mana-mana parti kepada Bersatu tanpa ada sebarang gerakan khas atau paksaan mahupun desakan untuk mana-mana pihak berbuat sedemikian.

“Amatlah malang bagi seorang pemimpin yang masyhur serta berprofil tinggi seperti beliau hanya sekadar mengangkat cerita kedai kopi dan membuat tuduhan tanpa asas demi semata-mata digelar hero dalam kalangan picisan kelompok tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan, Pemuda UMNO mendesak Bersatu supaya berhenti daripada 'mencuri' dan 'membeli' ahli UMNO sekiranya mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, Bersatu membayar sehingga RM100 kepada setiap ahli UMNO yang menyertai parti itu, malah cawangan yang ditubuhkan pula diberi peruntukan RM3,000 hingga RM5,000.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu didesak henti ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO

Nazri Aziz dedah Bersatu tawar wang tubuh cawangan

Saarani akui ada ahli UMNO Larut diperdaya sertai Bersatu

Mengulas lanjut, Muhammad Amiin berkata, tuduhan itu juga seolah-olah pemimpin UMNO menafikan pegangan serta kebijaksanaan ahli parti itu sendiri yang mana membawa naratif bahawa ahli UMNO itu murahan dan mudah goyah serta senang dijual beli.

“Apa kata akar umbi UMNO bila seorang pimpinan tinggi parti sendiri mengukur kesetiaan ahli hanya dengan cara itu. Nasihat saya juga agar beliau menghentikan segera polemik politik semata-mata untuk dilihat relevan dalam membela parti.

“Adalah lebih baik beliau menumpu kepada pemerkasaan akar umbi selain merangka program yang boleh menyumbang kepada pemerkasaan kerajaan selain membantu rakyat daripada mencari dan menimbulkan persepsi negatif sesama rakan gabungan dan kadang kala beliau seakan bertindak sebagai 'tukang alok' kepada pembangkang,” katanya.

Muhammad Amiin berkata, apa yang berlaku kini seolah-olah menggambarkan UMNO kini mengalami krisis keyakinan dalam kalangan pimpinan terhadap sokongan akar umbi, selain menonjolkan lagi bahawa UMNO kini sedang bergolak.

Katanya, lebih baik parti itu selesaikanlah dahulu pertikaian dalam kalangan 'keluarga' mereka sebelum mengheret parti lain untuk bertelagah.

“Saya dengan rendah diri ingin sekali menyeru beliau agar bersama berlapang dada dan lebih fokus kepada 'muafakat' sebagaimana yang dianjurkan oleh agama daripada mencari salah sesama kita.

“Marilah bersama kita bersatu hati membela nasib rakyat dan bangsa dari kita terus mencari titik pertelagahan sesama kaum,” katanya.